Perlukah FOKUS Dalam Menuju Akhirat?

Ketika pulang dari pengajian pada jam 11 malam tadi, kelihatan pakcik-pakcik arab yang berselerakan di kedai kopi sedang tenang menghirup teh berwap sambil bermain dam. Sesekali riuhan sorak gelak ketawa. Terfikir di dalam hati, bagaimana khilafnya perbuatan saya dengan perbuatan mereka itu. Dalam usia yang hampir bertemu dengan batu-batu kubur itu mereka tetap riang membuang masa seperti anak-anak kecil.

Firman Allah Ta’ala:
فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا حَتَّى يُلَاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ
Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan). (Surah Az-Zukhruf: 83)


Perbuatan Yang Utama Sekarang ialah..
Ramai yang gagal melakukan pekerjaan mengikut keutamaan. Penyebabnya hanyalah satu iaitu kekurangan fokus terhadap matlamat. Matlamat kehidupan seorang muslim adalah menuju akhirat dengan amal yang sempurna. Semua orang yakin bahawa dirinya tidak kekal lama bernafas di dunia ini. Namun perbuatan leka seolah-olah membawa erti kehidupan ini akan sentiasa berputar untuk beribu-ribu tahun lagi.

Orang muslim yang jelas matlamatnya akan menyusun serta menguruskan kehidupanya dengan baik sesuai dengan matlamat hidupnya iaitu untuk kekal tenang di akhirat dengan mendapat redha dan syurga dari Allah Ta’ala. Oleh itu setiap langkah dan geraknya adalah terarah kepada syurga. Semakin jelas matlamatnya untuk mendapatkan redha dan syurga dari Allah, maka semakin sibuk dia menyediakan diri dan bekalan untuk menujunya.

Ramai yang berjalan songsang kerana kabur dalam perjalanan menuju matlamat. Fokus antara faktor penyumbang kejayaan seseorang untuk menggapai matlamatnya. Dengan mempunyai fokus anda akan mengutamakan pekejaan yang lebih penting pada satu-satu waktu. Orang yang tidak punya fokus melakukan banyak kerja dalam satu masa yang sempit namun terkadang tiada satu pun yang memberi manfaat pada dirinya. Pekerjaan yang patut dilakukan ditinggalkan dan pekerjaan yang perlu ditinggalkan dijadikan keutamaan.

Firman Allah SWT;

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
1. Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
2. Sehingga kamu masuk kubur.
(Surah at-Takaathur 1-2)

Dunia ini Hanya Stesyen Persinggahan..

Kita boleh umpamakan keadaan ini seperti seorang yang berada di lapangan terbang untuk kembali ke kampung halamannya sempena cuti panjang. Di lapangan terbang tersebut dia begitu sibuk dengan hal yang tidak bersangkutan dengan dirinya seperti menyapu lantai, mengelap cermin, mengutip sampah yang berada disekitarnya. Tanpa dia menyedari bahawa barang persiapannya seperti beg galas dan makanan untuk dibawa ke kampung tidak diuruskan dengan sempurna lagi.

Apabila pesawat ingin berlepas, barulah dia kelam kabut untuk menyiapkan barang-barangnya untuk dibawa bersama. Dalam keadaan yang serba huru hara itu, semestinya ada barang yang tercicir atau jatuh tertinggal. Apa yang dibawa hanyalah beberapa barang yang tidak cukup untuk menetap di kampung dalam masa yang lama. Perasaan sedikit kecewa kerana cuai untuk membuat persiapan dari awal. Masa yang ada hanyalah digunakan pada perkara yang tidak memberi manfaat dalam perjalanannya menuju ke kampung. Dia tidak sepatutnya menghabiskan masa dengan mencuci lantai lapangan terbang itu sementara barang dan begnya ditinggalkan tanpa sebarang persediaan.

Begitu jugalah ibarat mereka yang tidak jelas tentang ke mana arah tuju sebenar perjalanan hidup. Memang tidak dinafikan ada waktunya kita ralip melihat keindahan dunia ini di kala iman merudum. Seperti juga berada dilapangan terbang itu. Padahal kita berada disitu hanyalah untuk beberapa ketika sebelum mula bertolak ke destinasi sebenar. Pabila maut datang menjemput, kita seolah-olah baru tersedar dari buaian lena. Dalam waktu berbaki yang sangat sempit itu, kita menyedari bahawa barang yang patut dibawa bersama untuk menuju ke negeri akhirat belum lagi terkumpul sempurna. Barang-barang itu adalah berupa amal yang akan membantu kita untuk hidup di sana. Rupanya usaha siang dan malam untuk memiliki kereta mewah dengan mengetepikan amal ibadah adalah sia-sia. Kereta yang berjuta ringgit itu tidak mampu mengikut jejak tuannya untuk bersama menuju ke negeri akhirat. Apa yang terlihat ialah, kita tidak punya bekal melainkan bekalan amal yang sedikit malah ada kecacatan dan rompongan yang tidak mampu untuk menampung kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah Ta’ala:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَاباً وَخَيْرٌ أَمَلاً
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (Surah alKahfi: 46)

Tiada yang dibenarkan untuk mendarat semula setelah menaiki pesawat. Begitu juga seseorang yang sedang menuju ke alam abadi. Amal yang tertinggal tidak dapat dikutip atau meminta untuk dihantar melalui pos.

Firman Allah Ta’ala:
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ
12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Jadi kejayaan kita di akhirat sana adalah bergantung sebanyak mana fokus tentang pemahaman kita mengenai akhirat. Kita akan sentiasa fokus dalam membuat sesuatu amal yang terarah kepada matlamat di akhirat. Setiap hari kita perlu mengingatkan diri bahawa kita pasti akan menuju ke satu destinasi yang jauh yang memerlukan amal sebagai bekal di sana. Akhirnya kita akan tahu pekerjaan apakah sekarang ini, saat ini, dan waktu ini yang perlu kita lakukan untuk menjamin hidup kita terarah ke syurga. Secara automatik setiap pergerakan yang membawa selain dari matlamat itu akan kita akan tinggalkan.

Moga saya, anda dan pakcik-pakcik arab di kedai itu diberikan kefahaman yang lebih oleh Allah Ta'ala untuk bersedia menemuiNya dalam keadaan yang sempurna.

6 komen:

ati said...

sekadar pandangan..jikalau ada kesilapan harap dapat diperbetulakan.

tanpa persiapan yang baik,naik gunung tidak bermakna apa-apa.begitu juga untuk menempuhi akhirat kelak.kehidupan duniawi hanya sementara.kehidupan akhirat kekal abadi.jadi kita sama-sama mempersiapkan diri kita dengan bekalan yang mencukupi untuk akhirat yang akan tiba..
semoga kita diredhai oleh Allah S.W.T

Quhafah said...

Apabila membaca artikel ini, satu kejutan seperti kejutan elektrik telah berlaku pada ana, kerna ana terfikir semula, erti kewujudan ana selama ini terarah kepada matlamat dan tindakan apa.
Memang sebahagian daripada kita telah mengetahui apa tujuan hidup seorang mukmin, tetapi pengetahuan itu hanya sekadar teori yang berlegar-legar terkadang di fikiran, dan praktikal menuju matlamat berkenaan amatlah sedikit.

Jazakallah atas artikel ini yang menjadi penyegar @ tajdid niat & hadaf.

Biarkan terus pena menari, menyentuh hati2 yang terkesima.

Pakar Rundingan Cinta said...

Salam semua...

Ya memang betul kerana kita harus fokus apa yang ingin kita lakukan dalam kehidupan terutama dalam soal akhirat. Kita jangan taksub dan lalai dengan kekayaan duniawi sahaja kerana ia adalah sementara. Memang dalam islam menuntut kita mencari rezeki dan kekayaan tetapi bairlah seimbang dengan akhirat sekali. Baru ader keberkatan dalam kehidupan kelak

ajidz said...

salam..

ya sauadara penulis setiap amal perbuatan kita perlu kpd fokus dan jika dlm konteks ibadat pula hendaklah di lakukan dgn khusyuk dan tawadhuk..barulah hasinya, perbuatan yg kita lakukan itu akan benar2 berjalan di atas landasan yg betul serta merasai kepuas hatian dan kemanisan terutama dlm melakukan amal ibadat yg kyushuk lg tawadhuk.

selain itu jg bertafakur dan muhasabah smula diri peribadi ini sgt2 di perlukan agar setiap pekerjaan kita itu di kaji semula..adakah apa pekerjaan atau amalan perbuatan yg dilakukan ni adakah betul2 berlandaskan dgn syariah islam atau sebaliknya?

nabi muhammad SalALLAHu`alaihiwasalam bersabda dlm hadisnya..bertafakur sebentar lebih baik dr ibadah setahun..

contoh yg di pemerkan oleh penulis sewaktu di lapangan terbang mengingatkan akan sy kejadian 4 tahun lalu sewaktu di KLIA mula2 hendak bertolak menuju ke mesir meninggalkan tanah air.kisahnya,ada seorg sahabat saya ini.xtahu la di mana silapnya kejadian ini..ketika mana sewaktu hendak melakukan timbangan beg2 bagasi..mungkin pd pandangan beliau segala beg2 yg ada di sisinya perlu jalani timbangan termasuklah beg utk carry msuk flight.dgn selambanya dan yakin pd diri maka dia telah serahkan suma beg2 yg ada utk ditimbangkan.selepas timbang, xdisangka suma beg2 td telah dimasukkan ke dalam kargo trus tanpa di pulangkan pd kita..alamat sebak dan sedihlah sahabat sy ini.sebenarnya byk brg2 yg sensitif termasuk pemain cd telah di letakkan dlm beg utk carry bwa bersamanya naik flight akan tetapi telah msuk dlm tmpat kargo atau bagasi..alamat rosakla jwbnya.sy sgt bersimpati dgn beliau dlm kejadian ini..ketika naik flight beliau hanya membawa dirinya sndiri serta ada sedikit bekalan makanan kegemaran beliau.mujurla ada sedikit makanan.boleh la di anggap carry jg.nmpak riak2 urat sedih diwajahnya.wlupn nmpak mcm sedikit lawak tp hakikatnya Allah sahaja yg tahu kesedihannya..

kesimpulannya fokus yg pd beliau waktu ketika menimbang barang telah hilang di sebabkan terlampau ramai sgt2 org..dan berasak2 di belakangnya..;)

Wa ALLahu A`lam

Dr.Irwan said...

Nampak jelas juga ibarat yang diberi. OraNG lalai = orang tidak fokus. datang ke dunia untuk jadi hamba kpd Allah, bukan hamba kepada harta. bila silap pilih tuan, silaplah jalannya. tq tuan blog! artikel padat ni. boleh buat idea nak ceramah plak

muhriz rahmat said...

Panjang benar kalam mu, ajid.. Tidak puas menjawab esei SPM?

Dr.Irwan, hamba dunia hanya fokus pada dunia. Bila dunia ghaib dari pandangan, maka fokusnya tentu pada akhirat. Tidak akan bercampur minyak dan air.

Catat Ulasan