Jangan patah semangat!

Saya baru pulang dari pengajian kitab di Zaqaziq. Memang sangat letih dan saya kekurangan 'mood' (mungkin ada sesuatu yang berlaku), tambahan pula cuaca yang sejuk diluar pada pagi ini (12.30 malam). Selalunya saya akan membaca emel dan akan melihat gambar untuk merehatkan fikiran. Post ini telah saya hantar setelah menonton satu video yang saya kira mampu membantu kita untuk membentuk semula semangat sekiranya ia mula beroperasi agak perlahan.

Ramai orang yang gagal kali pertama menempuh hidup ini menyerahkan dirinya sebagai penyerahan seorang yang sudah mati (tiada pengharapan). Padahal dia 'tetap' hidup bersama dunianya yang sama setiap hari. Sebagai contoh, orang yang putus cinta membunuh diri kerana merasa dirinya begitu gagal dalam hidup. Orang yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun berasa diri sungguh malang walaupun itu adalah kegagalan pertamanya. Ingatlah Rasulullah saw pernah diuji dengan kewafatan isteri yang tercinta, Saidatuna Siti Khadijah r.a.ha dan juga bapa saudara baginda pada waktu yang hampir sama. Namun membawa risalah ALlah sebagai tugasnya tetap dijalankan walaupun mempunyai masalah peribadi. Di sinilah ALlah menunjukkan kekuatan semangat yang ada pada Nabi Muhammad SAW.


Setelah menonton video ini, harapnya kita perlu muhasabah diri dengan apa yang ALlah telah tetapkan di dalam hidup kita. Adakah takdir yang telah ditentukanNya itu terlalu buruk untuk kita di dalam dunia ini atau ia adalah suatu yang bermanfaat untuk masa hadapan. Yang penting adalah perubahan, bukan bersedih berterusan dengan apa yang menimpa. Kesedihan dan menangis seharian selama setahun pun tidak mampu untuk membahagiakan hati.




Pengejaran dan penghayatan: Putus semangat hanya mengundang kesedihan yang berterusan dalam hidup kita. Berusahalah berkali-kali sehingga berjaya mengembalikan semangat itu dan kita hanya akan tersenyum bila melihat perubahannya. Biarkan pergi sesuatu yang telah telah hilang pada hari KELMARIN, teruskan kehidupan kerana kemungkinan ada sesuatu yang baru akan anda temui pada hari ESOK, kerana ESOK adalah suatu yang BARU!

Mencari ‘Peledak’ Semangat

Semangat manusia boleh muncul boleh hilang. Dalam satu masa manusia boleh menjadi begitu kuat dan nampak gah hebatnya. Pada masa yang lain dia kelihatan tidak bermaya dan seolah-olah menjadi mayat hidup. Sering kali kita melihat, apabila pelajar sekolah balik dari kursus motivasi, mereka begitu bersemangat dan bercita-cita untuk merubah diri. Namun perubahan yang baru dilaluinya hanya tertahan dalam tempoh tiga hari sahaja. Jadi apakah cara untuk kita bangkitkan semangat setelah ia mati? Jawapannya, kita harus mencari ‘peledak’ atau punca yang membolehkan seseorang itu bersemangat kembali.

Begitu juga dengan marah. Kadar kemarahan seseorang akan melambung tinggi jika menyentuh punca yang boleh membuatkan dia menjadi marah. Sebagai contoh, seseorang itu memang ‘pantang’ disebuat nama bapa atau ibunya. Memang dia akan berikan ‘tamparan hebat’ kepada penyebut yang malang itu.. Jadi peledak kemarahannya adalah dengan menyebut nama ayah ibunya. (Jangan bermain-main dengan orang seperti ini.).

Tapi di sini kita ketepikan ‘peledak’ kemarahan itu. Mari kita berbicara bagaimana menaikkan semangat dikala malas pada sesetengah waktu. Pernahkah anda melalui waktu-waktu ketika malas untuk membaca buku pelajaran, kemudiannya terlihat gambar ayah ibu di meja tulis? Apakah perasaan anda pada waktu itu? Saya dapat agak bahawa kita akan teringat harapan ibu ayah yang sangat tinggi terhadap kejayaan kita. Tapi kemungkinan juga, kita akan telefon mereka selepas itu Apatah meraka yang datangnya dari golongan yang susah. Pada waktu itu, kita lantas menyambar buku di atas meja dan akan membaca sehingga larut malam dengan begitu tekun.

Adakah anda sudah memahami maksudnya kalam ini? Itulah peledak yang saya sebutkan sebentar tadi. Lain orang lain peledaknya. Ada yang menjadikan kekasihnya sebagai sumber kekuatan diri dan ada juga yang menjadikan bahan material sebagai pembakar semangatnya.

Saya tidak membataskannya pada manusia sahaja. Banyak lagi perkara yang boleh membuatkan seseorang itu lebih bersemangat. Sebagai contoh, bila malas datang pada waktu hampir peperiksaan,, cuba anda bayangkan jika gagal dalam peperiksaan itu. Pasti ada seribu satu kekalutan hidup akan menghantui seperti dimarah ibu, tidak dapat meneruskan biasiswa dan bermacam-macam lagi.Jadi pastikan anda terus bersemangat setiap hari dengan mencari apa-apa yang boleh mengembalikan motivasi anda.

Namun, bagaimanakah jika anda tiada punca yang boleh menjadikan anda bersemangat? Ayah ibu sudah tiada. Kehidupan hanya sebatang kara. Tiada siapa yang lagi mengharapkannya. Sebenarnya punca semangat itu sangat banyak. Pernahkah anda terfikir, bagaimana seseorang muslim boleh menjadi bertambah semangat pada setiap masa? Walaupun dihujam dengan pelbagai perkara yang boleh melumpuhkan semangatnya, mereka tetap teguh dengan pendirian yang sama. Saya akan kongsikan kepada anda, bagaimana pandangan seorang muslim terhadap semangat. Tunggu pada artikel yang akan datang.

Penyakit kurang FOKUS

Orang yang fokus bererti mempunyai matlamat dan tujuan. Semestinya mereka yang fokus hanya mempunyai satu haluan yang ingin dituju. Kebanyakan kejayaan yang diraih oleh mereka yang fokus ini lebih tinggi dari mereka yang kurang menghayati fokus dalam sesebuah pekerjaan.

Apakah penyakit yang melanda ini?
Attention Deificit Disorder atau ADHD (AttentionDeficit Hyperactivity Disorder), atau dengan bahasa yang mudah, penyakit lesu dan kurang fokus untuk pekerjaan seharian. Orang yang memiliki penyakit ini mempunyai daya tumpuan yang lemah (otak melayang) kekacauan pikiran, sifat kehilangan dorongan dan gerak hati, serta keresahan atau kegelisahan yang menganggu fungsi dan pekerjaan sehari-hari.

Sebenarnya pelbagai punca penyebab kita tidak atau kurang fokus kepada sesuatu pekerjaan yang sedang dilakukan Kebanyakannya ialah mereka yang suka buat pelbagai kerja dalam satu keadaan. Kalau boleh, dia ingin melakukan semua kerja. Pernahkan anda ingin melakukan satu perkara, dan perkara lain pula yang dihasilkan? Seperti asalnya ingin membeli kitab (buku) di sebuah Pameran buku. Tiba-tiba ditengah jalan terlihat DVD playstation dijual dengan harga murah. Lantas membeli dan setelah duit habis digunakan, terus balik. Bila tiba dirumah, terfikir apakah tujuannya keluar rumah tadi. Adakah untuk membeli DVD playstation atau buku ilmiah?

Begitu juga mereka yang ingin membaca buku. Asalnya ingin membaca buku Sains, tiba-tiba terlihat buku Bahasa Arab. Timbul dalam hati, hendak belajar Bahasa Arab (semangat). Namun semasa membaca buku sains tersebut, hati asyik teringat dan terbayang buku Bahasa Arab, terus ditinggalkan buku Sains dan membaca buku Bahasa Arab pula. Inilah contoh mereka yang kurang fokus dalam membuat satu pekerjaan. Dalam hal ini, mereka sebenarnya menempah pelbagai kerja dalam kehidupan.

Hayatilah sabda Rasulullah (saw): "Perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ialah perbuatan yang dilakukan dengan istiqamah". Lakukan kerja secara berterusan sehinggalah kita sampai ke matlamatnya. Tetapkan matlamat, objektif, pasti anda akan terhindar dari penyakit tidak fokus ini. Sebagai nota tambahan, sekiranya anda mempunyai idea lain ketika membuat sesuatu perkara, catatkan sahaja. Mungkin boleh difikirkan semula pada waktu yang lain.