Memaparkan catatan dengan label review. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label review. Papar semua catatan

Kuasa Hijrah, kuasa untuk berubah

Bagi saya, buku ini adalah dari kumpulan buku motivasi yang terbaik yang pernah saya baca. Ia adalah penulisan gabungan antara Dato’ Dr. Mohd Fadhilah Kamsah dan Ahmad Fadzli Yusof. Penerangan langkah demi langkah, menyusun strategi dan seterusnya mencapai kejayaan. Buku ini telah sempat saya jumpai ketika pulang ke Malaysia pada pertengahan tahun 2007 yang lalu.



Di dalamnya juga ada kisah-kisah, petua dan nasihat mereka yang telah berjaya dengan pengalaman masing-masing. Antaranya Tan Sri Syed Mohktar, Engku Azri, Azizi Ali (pakar hartanah), Dr. Zainol (SURECO) Ramly Mokni (Ramly burger) irfan khairi (yang terbaru) dan ramai lagi. Mendengar perkataan yang baik serta mengikutinya adalah dituntut oleh ALlah Ta'ala. Firman ALlah: "17. Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembah- nya[1310] dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku, 18. yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya[1311]. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal. (surah az-Zumar: 17-18) Pilihlah perubahan diri samada ke arah negatif atau positif. Andai anda memilih yang positif, anda perlu sentiasa bersama mereka yang positif. Buka hati untuk menerima segala yang baik demi perubahan diri sendiri.


Antara tips yang boleh saya kongsikan bersama anda adalah dari irfan khairi. Beliau asalnya adalah seorang yang tidak suka membaca. Namun bagaimana beliau mampu menghabiskan bacaan ratusan buku berkaitan dengan perniagaan internet? Rahsianya, beliau menggunakan teknik Mat Jenin. Apabila beliau mula membaca buku, beliau akan bayangkan bahawa beliau sudah habis membaca buku tersebut, malah telah mendapat pelbagai manfaat dan idea menarik dari buku itu. Lama kelamaan rasa seronok timbul dan keinginan untuk menghabiskan sebuah buku akan timbul. Malah keseronokan itu membolehkannya membaca buku yang seterusnya.

Irfan khairi adalah seorang jutawan internet pada usianya 25 tahun. Kini mempunyai pelbagai jenis perniagaan. Anda boleh lawati blog motivasi beliau di http://www.irfankhairi.com. Banyak tips yang beliau kongsi bersama dengan pembaca.

Pengajaran & Penghayatan: Seseorang yang sentiasa hidup "biasa-biasa" setiap hari tidak akan bertemu perkara luar biasa. Seorang yang beriman tidak mantap imannya tanpa ada usaha.

Atas nama cinta

Novel ini adalah sebuah karya Isa Kamari, Penerima S.E.A Award 2006. Kisah yang dipaparkan di dalam novel merujuk kepada kisah benar yang pernah berlaku di tanah melayu suatu ketika dahulu.


Nadra, seorang anak belanda yang pernah diserahkan oleh ibunya kepada seorang wanita melayu untuk dipelihara lantaran kesusahan kehidupan orang belanda pada ketika itu, setelah jepun menjajah tanah melayu. Ramai orang kulit putih diberkas dan dipenjarakan oleh Pegawai Tentera Jepun. Maria adalah nama asal Nadra sebelum beliau memeluk Islam.

Nadra dijaga dan dididik dengan sistem dan akhlak Islam. Beliau adalah seorang gadis yang lemah lembut dan penuh dengan adat sopan santun seorang melayu. Namun setelah membesar dan setelah kejatuhan jepun ke tangan enggeris, satu peristiwa buruk telah menimpanya.

Dalam usia Nadra yang sudah dewasa, beliau telah menemui kembali ibu kandungnya. Ibunya berhasrat supaya Nadra kembali hidup bersama keluarga kandung. Pelbagai konflik berlaku semasa perebutan Nadra. Kisah ini adalah kisah trajis seorang muslimah yang kembali kepada agama asalnya dengan tanpa ada pembelaan.

Perjalanan kisah di dalam novel ini seolah-olah hidup, membuatkan pembacanya kembali berada di zaman tersebut. Degupan jantung sendiri berdebar dengan tiap-tiap perkara yang berlaku dalam babak-babak yang seterusnya. Hati terasa sayu bila mengimbau kembali kisah kehidupan sebenar nadra yang penuh ujian.

Saya mula mengenali kisah nadra ini semenjak di bangku sekolah rendah lagi, setelah mendengar nasyid dari kumpulan Al Wadi dari Universiti al Azhar. Tajuk nasyid tersebut ‘Natrah’ (Nadra).

Di sini saya paparkan lirik nasyid kumpulan al wadi.

Kisah trajis yang merangkap akidah seorang gadis
Ku paparkan dalam irama ini..

Di sebuah desa yang permai
kisah ini terjadi
gadis yang berbudi pekertinya tinggi
oh Natrah nama diberi
Disebuah desa nan indah
Ditemani suami tercinta
dan si ibu tua penuh nostalgia
Namun hanya sementara..

Tiba-tiba lembayung senja
meragut sutera iman dihatinya
Tiba-tiba samudera ombak
merempuh hidayah di dadanya
dan natrah........
menangis tersendu merenung suratan
yang tak pernah di duga

Natrah kini....
di bawa pergi
entah bilakan kembali
tak upaya ia mengulangi
Kisah masyitah yang tinggi
hanya doa petunjuk Ilahi
cintakan bersemi lagi..

Demi cinta dan air mata
Kau harungi lautan ombak bergelora
demi cinta yang terlara
kau dijejaki lembah derita

Oh Natrah
andai kau mendengari
suara hati kecilku ini..
ku pujuk rayumu
agar kau sedari
pintu hidayah terbuka lagi

oh natrah tentu masih kau ingat
syahadah manisnya dibibirmu
pulanglah.. harumkan...
setanggi dipusara hidupmu..

Jadikan kisah ini sebagai iktibar
pertahankan kedaulatan ummah
ketitisan darah yang terakhir
Buat natrah, terimalah syahadah ini

Asy hadu allaa ilaaha illallah
wa asyhadu anna muhammar Rasulullah

Pengajaran & Penghayatan: Kisah natrah ini perlu dijadikan iktibar bagi seluruh mayasarakat islam kita di Malaysia. Betapa kita perlu memperkuatkan sistem pemerintahan yang agak rapuh bagi mempertahankan Islam. Terasa bersyukur diri ini kerna dipilih Allah untuk menjadi seorang muslim tanpa pernah merasa pengorbanan dan jerih perih menjaga iman sebagai mana pengorbanan para Nabi alaihim assalam, para Sahabat Radhiallahu anhum dan orang-orang soleh.

Video Kenangan STAM 2004

Akhirnya video ini siap di edit. maka video ini tidak mengandungi unsur2 yang berlawanan dengan syara'.

Kenangan indah ini sentiasa abadi di hatiku. kepada sahabat2 yang ingin mendapatkan video siri penuh ini, bolehlah hubingi saya (lelaki sahaja).

SEDIKIT NASIHAT: Almaklum, membawa video (handycam) ke sekolah adalah TERLARANG. Jangan cuba berbuat demikian.

(sila 'refresh' seandainya video tidak berfungsi)





Pengajaran & Penghayatan: Hayatilah tiap2 saat yang berlalu dengan penuh syukur kerana ia tidak akan berulang kembali. Ambillah manfaat dari tiap saat itu supaya ia menjadi kenangan terindah dalam hidup anda!


"Alangkah indah bila manusia itu menjaga cintanya" Dalam novel yang pernah saya baca pada tahun 2006 ini banyak menyentuh soal peribadi seorang muslim dalam kehidupan hariannya. Sememangnya novel ini, penyuluh hati yang gersang dan penyiram jiwa yang kekeringan.

Fakhri yang berpewatakan seorang yang soleh, dijelmakan dengan imej seorang pelajar Universiti Al Azhar yang cemerlang. Dikatakan bahawa fakhri tidak pernah mendekatkan cintanya kepada wanita. Aisyah pula seorang gadis solehah berniqab penuh kesopanan. Pertemuan mereka memang di atas kehendak Allah Ta’ala. Diringkaskan cerita, fakhri bertemu dengan aisyah pada kali pertama di dalam keretapi ketika pulang dari talaqqi (pengajian) dengan Syiekh Othman. Keberanian Aisyah memang memeranjatkan fakhri. (Dan sebenarnya kejadian tumbuk menumbuk di dalam keretapi itu tidak berlaku di dalam novel). Fakhri dengan penuh hikmah menasihati orang mesir itu dengan hikmah sehingga keadaan menjadi tenang. Semenjak saat itu Aisyah dan Fahkri berkenalan. Perkenalan ini akhirnya membawa ke pentas perkahwinan.

Tiga wanita lain yang juga menaruh hati kepada fakhri secara diam berasa kecewa dengan perbuatan fakhri itu. Kita melihat bahawa keempat-empat wanita ini mengambil peranan mengubah warna kehidupan Fakhri. Pelbagai ‘Dugaan Cinta’ yang Fakhri terima. Sehinggalah dia dihumbankan ke dalam penjara.

Tidak mampu saya ulas cerita yang begitu panjang ini dalam satu artikel pendek. Namun hikmah yang mampu kita ambil dari cerita ini sungguh banyak.

1. Kehidupan seorang Muslim yang cuba menjaga diri dari sebarang maksiat dan dosa.
2. Aisyah seorang wanita yang tabah, berani dan pandai menjaga diri. Peribadi seperti ini patut ada pada semua muslimah.
3. Cinta yang tidak terbalas membuatkan kita membalas dendam. Ini membuktikan bahawa cinta seseorang itu tidak ikhlas. Sanggup menyakiti orang yang di sayanginya hanya kerana cinta tertolak.
4. Kenikmatan bercinta selepas bernikah. Sebenarnya cinta sebelum bernikah belum mampu lagi diungkapkan sebagai ‘cinta’ melainkan setelah bernikah. Cinta yang sebenar akan terhasil oleh kerana saling bekerjasama untuk mengukuhkan kehidupan yang akan mendatang. Orang yang belum berkahwin hanya mengungkapkan kehidupan yang akan datang walhal mereka belum melaluinya lagi.


Pengajaran & Penghayatan:Melihat kepada kisah yang terhasil dari novel ini memberi pelbagai makna dan pengertian yang indah. Bila kita menyibukkan diri dengan pengajian, masa habis dengan talaqqi bersama syeikh tanpa berfikir soal cinta, cinta itu tetap datang. Yakinlah.. Kisah ini membawa kita supaya menjaga cinta yang Allah Ta’ala berikan. Andainya kita menahan pandangan dan nafsu, maka Allah akan tetap berikan kita suatu nikmat yang tidak terkira pada suatu hari nanti.. iaitu pasangan yang soleh solehah dan zuriat yang taat pada agama.