Memaparkan catatan dengan label Emosi dan Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Emosi dan Cinta. Papar semua catatan

Kita Miskin Cinta dan Kasih Sayang..

Masyarakat kini miskin cinta. Cinta mereka hanya terbatas pada orang, kaum dan benda tertentu. Bila disebut pemuda, maka dia semestinya seorang yang akan mencintai gadis. Bila disebut orang kaya, dia perlu mencintai harta. Maka setiap haluan hidup di tujukan pada yang tercinta. Bila kasih sayang 100% untuk kekasihnya, hartanya, dan jawatannya, orang lain tidak lagi penting dalam hidup.

Cintailah semua orang, kerana cinta itu tidak terhad..
Bila saja berhadapan dengan orang yang dicintai, orang lain dilihatnya seperti batu dan tunggul. Bila diminta pertolongan, sedikit pun tidak diendahkan. Namun untuk terjun ke lautan api bagi membuktikan cinta pada kekasihnya sanggup diredahi . Lalu bagaimana sikap tolong menolong, kasih mengasihi terhadap sadara-saudara yang lain dapat diamalkan jika segala perbuatan baik hanya untuk orang tertentu dan hanya di dasari oleh material semata-mata. Kerana itu manusia kini miskin cinta. Cinta itu terhad untuk harta, jawatan, wanita, dan kaum kerabat.

Kisah peperangan di Negara jiran tidak dihiraukan kerana; cinta hanya terhadap Negara sendiri dan semangat perkauman yang menebal. Perompak berjaya melarikan beg tangan seorang mak cik dan kita melihat dari jauh kerana; itu bukan makcik kita atau wajah mak cik itu tidak seiras Siti Nurhaliza.

Ingatlah ketika jenazah kita disuatu hari nanti hendak dikebumikan. Siapa yang membantu. Saudara kita yang tidak pernah kita kasihi di dunia dahulu yang menurunkan kita ke liang lahad. Dahulu kita sibuk menghabiskan masa dengan mengira nilai wang emas, sibuk dengan kekasih dari awal pagi hingga malam. Lalu, dimanakah benda yang kita cintai itu pada waktu ini. Pangkat yang kita cintai kini dijawat orang lain. Harta yang diusahakan siang dan malam kini menjadi warisan untuk anak-anak.

Ingatlah Allah tidak pernah membataskan sifat arRahmanya pada manusia tertentu. Nabi saw juga tidak datang hanya untuk sebuah kaum atau bangsa sahaja. Maka bersahabatlah dan sebarkanlah silatarrahim kepada semua manusia. Jangan kerana cinta harta, pangkat, dan kekasih, kita tidak berpeluang untuk mencintai yang lainnya.


Mencari Solehah atau Menjadi Soleh?

Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga habis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba. Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat taqdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada pos kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh!
Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab, “dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”. “Pandai jaga hati”. Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan‘baik’ itu yang berbeza. Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah.

Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya. Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka: “Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.” “Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati”. “Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu”. Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu? Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain.





Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah!

Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita? Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu. Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh. Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita.

Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.



Kasih sayang, antara pengorbanan dan yang terkorban






Sifat kasih sayang adalah satu sifat yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluknya tidak kira samada manusia atau haiwan. Dengan kasih sayang itu, seekor kucing dapat menyusukan anaknya yang dalam kelaparan. Maka kehidupan di dunia ini sangat harmoni jika kasih sayang itu diterapkan di dalam jiwa setiap manusia dan sentiasa diamalkan di dalam kehidupan.

Kasih sayang yang membawa diri terkorban.
Sangat menghairankan. Kebiasaannya orang yang mengasihi seseorang yang akan terkorban. Kali ini sedikit terbalik. Orang yang dikasihi pula yang terkorban disebabkan kasih sayang yang diberikan kepadanya. Ini memang benar. Sayang tanpa pemahaman yang betul membuatkan orang yang disayangi itu akan terkorban.

a) Ibu bapa yang begitu sayangkan anaknya dan meluahkan kasih sayang mereka dengan pemahaman yang songsang membawa anak mereka seakan-akan tidak pernah diberi kasih sayang. Sebagai contoh, anak dibiarkan bergaul dengan sesiapa sahaja dengan alasan masih remaja lagi, perlu bergaul dengan masyarakat untuk buka minda, tidak mahu mengongkong anak takut dikatakan anak seperti katak di bawah tempurung dan tidak perlu kejut awal untuk solat subuh takut anaknya tertidur di dalam kelas kerana mengantuk.

b)Kasih sayang songsang sepasang kekasih yang belum diikat dengan tali pernikahan akhirnya membawa kepada penzinaan. siapa yang terkorban sebenarnya?


Kasih Sayang Dengan Pengorbanan Yang Sebenar.
Terlalu jauh kefahaman tentang 'sayang' yang kita anuti dari apa yang diajar oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw menganjurkan kita untuk menginfak harta yang paling kita sayang. dan paling baik . Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآَخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya;
” Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”(Surah Al-Baqarah : 267)

Jika sayangkan harta, maka infaqkan kerana ia akan membantu anda mendapat ganjaran yang begitu lumayan diakhirat kelak. Orang dunia menyayangi harta dengan menyimpan sehingga harta itu digunakan ke jalan yang salah dan kadang kala tidak sempat digunakan lantaran kematian datang secara mengejut. Nabi ibrahim juga meninggalkan siti hajar ditengah padang pasir yang gersang kerana sayang kepada isterinya dan menuntut untuk sama-sama taat pada perintah Allah.

Jadi mari perbetulkan makna sebenar kasih sayang kita kepada seseorang. Mungkin pada pandangan kita, kita telah menyempurnakan kasih sayang yang sebenar, tapi terkadang kita silap. Ibu bapa yang benar-benar sayang anaknya akan melepaskan anaknya untuk menyambung pelajaran walaupun terpaksa berjauhan. Jika kita benar-benar menyintai seseorang, maka kita akan mengahwininya atau jika tidak berkemampuan pun cukuplah setia itu menjadi mahar pendahuluan. Bukanlah sentiasa berhubung itu tanda sayangnya kerana sayang tetap di dalam hati.

Lagu untuk Pen'cinta'

saya tujukan lirik ini untuk mereka yang sedang hangit hangat bercinta.

Kau siramkan wangian mawar putih
Kepada sebuah kenangan yang layu
Bisakah merubah detik-detik yang berlalu
Dari sekadar impian yang kaku

Jiwa terpaut menyaksi
Seribu pengorbanan dihulur
Cinta kasihan bersemi
Mengagung tak disedari
Diimpi tak pasti
Mengharap tak mendakap
Kesetiaan dijunjung
Rupanya tak ke hujung

Lilin yang menyala membakari dirinya
Buat menerangi insan yang memerlukan
Tanpa disedari diri sendiri sirna
Duka nestapa dibiarkan saja

Begini jadinya bila dihamba pesona cinta
Yang buta tak mengenal sebenar sifatnya

Cinta suci bukan untuk dinodai
Kasih jangan dikhianati
Lamarlah belas simpati

Kesucian cinta
Ikhlas tak diundang
Perliharalah...


Sudahkah anda membaca post saya berkaitan cinta sebelum ini? klik di sini untuk membaca


Game Cinta "Kasihan"

Awas! Permainan ini dilarang untuk muda mudi Islam



Islam menghormati dan menghargai wanita. kerana itu syariat ALlah sampai ke bumi dengan membawa keadilan. Setiap lelaki dan perempuan yang ingin bersama, perlu bernikah terlebih dahulu. Ini sebenarnya sebagai 'ikatan' supaya melahirkan tanggungjawab antara kedua-dua pasangan. Firman ALlah Ta'ala: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (Surah ar-Rum: 21) Nafkah perlu diberikan oleh suami kepada isteri walaupun sudah bercerai untuk tanggungannya dan anak-anak. Dengan bernikah, anak akan tahu nasab (keturunan) siapakah dia datang.

Pengajaran & Penghayatan: Sebuah institusi keluarga memainkan peranan penting untuk menghasilkan masyarakat yang harmoni. Pernikahan tidak akan berlaku kecuali redha meredhai, saling mencintai dan rasa tanggungjawab yang besar. Bukan kerana terpaksa hanya untuk menutup aib keluarga.

Cinta Kasihan dan Cinta Kasih Sayang

Allah SWT telah menciptakan manusia untuk saling berkenalan dan memenuhi pelbagai keperluan hidup manusia sehari-sehari samada zahir dan batin. Firman ALlah Ta'ala: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Surah al-Hujuraat: 13) Kita merasakan suatu yang agak terlampau apabila manusia cuba melangkau batasan yang Allah SWt berikan. Atau dengan bahasa mudahnya, diberi betis hendak peha.

Mungkin mudah untuk saya bahasakan cinta muda mudi zaman kini sesuai dengan slogan; cepat dan mudah! (ini bukan slogan produk masakan adabi). Kitaran cinta secara am dijadikan adat dan tiruan sehingga seakan-akan menjadi kewajiban anak-anak belia melakukannya. Firman ALlah Ta'ala: “Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis-jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia”.(Surah Ali Imran : 14)

Bermula berkenalan entah dari mana usulnya, berterusan dengan memberi salam dan tujuan perkenalan. Muka setebal 5 inci sudah nipis agaknya dek ditutupi jerawat sana sini. “saya ikhlas berKAWAN dengan awak”.. ayat manis mula meniti dibibir penutur yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya perkataan tersebut dan mungkin tidak pernah membuka kamus dewan untuk mencari makna; apakah itu ikhlas.

Pesona perkataan dengan prosa kata yang agak manis untuk disiulkan demi menambat sebuku hati hampir berjaya 50% untuk kali pertama.

Si gadis tertunduk malu seakan-akan kali pertama digoda, cuba menggambarkan dirinya seolah-olah mempunyai akhlak agama dan masih memiliki adat seorang wanita melayu.

Berfikir 5 minit sudah sanggup untuk menerima cinta pertama walapun hanya bergelar KAWAN. (AWAS!! ‘kawan’ zaman ini mempunyai pelbagai pengertian!). Ikatan KAWAN berterusan sehingga sebulan. Dalam waktu itu hubungan KAWAN mampu bertukar menjadi eksterim dalam sekelip mata. Alatan canggih zaman moden ini amat membantu hubungan ‘KAWAN’ tadi. Yahoo! Messenger, handphone, friendster, dan 1001 jenis lagi yang tidak perlu saya sebutkan..

Ya.. teruskan lagi..

Perkataan saya dan awak bertukar menjadi SAYAng dan biAWAK abang, walaupun diakui itu bukanlah abangnya (abang kandung pun tidak dipanggil abang) hari-hari memendam rasa, perasaan bergelora maka timbul untuk selalu bersama.. berDating menjadi program utama..

Berpegang tangan di HARUSkan dan sememangnya terkadang mereka bukanlah jahil hukum. Tapi otak kemaruk diselaputi kisah cinta sana sini juga ingin menjadi seperti hero dan heroin filem korea, menghancurkan hukum yang telah Allah tetapkan. Firman ALlah Ta'ala: "dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk". (Surah al-A'raf: 30)

Beringan-ringan di tempat sunyi. Tangan sendiri menjadi tangan kekasih. Sabda Nabi SAW: "Tidak boleh bersunyi seseorang kamu dengan perempuan dan tidak boleh bermusafir seorang perempuan melainkan bersamanya muhrim. (Riwayat Imam Bukhari)".

Wahai wanita, ingatkah kau dahulu di masa kecil, ibumu yang membasuh kemaluanmu seharian, dibasahi air najis berbau hancing. Sanggup berjaga malam menukar lampinmu yang basah serta berhabis duit kerananya? Adakah ibumu redha dengan keringanan yang kau berikan kepada kekasihmu untuk dinoda dengan PERCUMA??

Wahai lelaki, kau mudah memperdaya, sedangkan kau juga tahu, kekasihmu itu muslimah yang mempunyai nilai di sisi Tuhannya?

Apakah perasaanmu andainya kau melihat adik perempuanmu dinoda lelaki lain tanpa ikatan nikah. Alangkah murahnya keluarga mu.

Tahukan kamu wahai lelaki, wahai wanita, apakah itu ikatan, dan apa tujuan Allah SWT menjadikan ikatan itu sebagai yang terbaik untukmu? Bayangkan sesuatu barang yang tidak diikat bererti ia bebas terlepas kemana-mana. Kita dapat melihat realiti yang akan berlaku dari peribahasa ‘habis madu, sepah dibuang’ bila perkara ini berlaku.

Dimanakah IKHLAS yang kamu canang dengan mudah? Dimana malu seorang gadis muslimah? Hanya tertinggal didalam DVD cinta filem korea.

Apakah syaitan sudah musnah pada zaman ini lantaran banyaknya sekolah2 pengajian agama yang membangun di sana sini?

Seterusnya bila berlaku perkara yang tidak diingini, (anda faham bukan, maksudnya?) Firman ALlah: "32. Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. " (Surah al-Israk: 32) Bila anak muda mempunyai seorang bayi yang seakan2 ‘sebaya’ dengan adik kandungnya. Mula keliru dengan apa yang telah dilakukannya. Bayangkan impian sepasang kekasih tadi ingin membina keluarga bahagia hancur bila perkara ini berlaku. Si lelaki belum berkerja, untuk sara diri sahaja pun mengharapkan bantuan keluarga, si perempuan sudah berbadan dua juga mempunyai masalah yang sama. Berkenalan tidak sampai sebulan dua sudah mempunyai seorang anak tanpa ikatan nikah. Lelaki itu dengan perasaan kasihan, menikahi kekasihnya. Lalu, dimana cinta kasih sayang mereka? Cinta kasihan bererti cinta terpaksa. Bolehkah institusi kekeluarga muslim ini akan teguh lama? Saya tinggalkan persoalan untuk kita menilai diri..

Pengajaran & Penulisan: Tulisan ini memang nampaknya agak ngeri bila dibaca, namun kita perlu melihat realiti. Sememangnya perkara ini yang telah dan sedang berlaku di bumi Allah. Oleh itu, diatas coretan saya hari ini yang agak mengguris ‘pakwe’ dan ‘makwe’ harapnya dapat memahami cinta yang diluluskan oleh syariah dan cinta yang membawa kepada benda yang haram. Ingatlah setiap perkara yang bertentangan dengan syariat atau undang-undang yang Allah telah tetapkan, akan membawa kerugian kepada diri sendiri.

Oleh itu, bezakan antara cinta kasihan dan cinta kasih sayang..