Mencari Solehah atau Menjadi Soleh?

Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga habis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba. Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat taqdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada pos kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh!
Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab, “dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”. “Pandai jaga hati”. Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan‘baik’ itu yang berbeza. Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah.

Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya. Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka: “Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.” “Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati”. “Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu”. Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu? Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain.





Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah!

Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita? Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu. Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh. Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita.

Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.



Video Muhasabah Seorang Anak

Hari ini saya ingin berkongsi satu video yang mampu menewaskan sifat malas seorang pelajar. Atau sebagai pemurni jiwa derhaka seorang anak. Terima Kasih kepada saudara Quhafah kerana telah menemukan semula video ini setelah sekian lama hilang dari komputer saya.



Ini adalah salah satu peledak semangat anda ketika ia mula merudum. Video ini jugalah yang selalu saya tonton ketika semangat mula pudar disebabkan beberapa perkara yang mendatang tanpa dipinta. Jika anda malas untuk muhasabah diri, membetulkan niat, maka bukalah mata, hidangkan telinga anda untuk menonton dan mendengar video ini.

Video ini juga amat memberi kesan kepada jiwa apatah lagi jika anda duduk berjauhan dengan ayah dan ibu diperantauan. Dengan kasih sayang mereka, kita kini mampu mendaki ke puncak dengan mudah. Setiap langkah dipimpin tidak pernah putus. Maka jangan putuskan harapan mereka. Andai pun anda tidak mampu membalas jasa mereka barang sedikit pun, maka tidak usahlah untuk menyusahkan mereka.

Kasih sayang, antara pengorbanan dan yang terkorban






Sifat kasih sayang adalah satu sifat yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluknya tidak kira samada manusia atau haiwan. Dengan kasih sayang itu, seekor kucing dapat menyusukan anaknya yang dalam kelaparan. Maka kehidupan di dunia ini sangat harmoni jika kasih sayang itu diterapkan di dalam jiwa setiap manusia dan sentiasa diamalkan di dalam kehidupan.

Kasih sayang yang membawa diri terkorban.
Sangat menghairankan. Kebiasaannya orang yang mengasihi seseorang yang akan terkorban. Kali ini sedikit terbalik. Orang yang dikasihi pula yang terkorban disebabkan kasih sayang yang diberikan kepadanya. Ini memang benar. Sayang tanpa pemahaman yang betul membuatkan orang yang disayangi itu akan terkorban.

a) Ibu bapa yang begitu sayangkan anaknya dan meluahkan kasih sayang mereka dengan pemahaman yang songsang membawa anak mereka seakan-akan tidak pernah diberi kasih sayang. Sebagai contoh, anak dibiarkan bergaul dengan sesiapa sahaja dengan alasan masih remaja lagi, perlu bergaul dengan masyarakat untuk buka minda, tidak mahu mengongkong anak takut dikatakan anak seperti katak di bawah tempurung dan tidak perlu kejut awal untuk solat subuh takut anaknya tertidur di dalam kelas kerana mengantuk.

b)Kasih sayang songsang sepasang kekasih yang belum diikat dengan tali pernikahan akhirnya membawa kepada penzinaan. siapa yang terkorban sebenarnya?


Kasih Sayang Dengan Pengorbanan Yang Sebenar.
Terlalu jauh kefahaman tentang 'sayang' yang kita anuti dari apa yang diajar oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw menganjurkan kita untuk menginfak harta yang paling kita sayang. dan paling baik . Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآَخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya;
” Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”(Surah Al-Baqarah : 267)

Jika sayangkan harta, maka infaqkan kerana ia akan membantu anda mendapat ganjaran yang begitu lumayan diakhirat kelak. Orang dunia menyayangi harta dengan menyimpan sehingga harta itu digunakan ke jalan yang salah dan kadang kala tidak sempat digunakan lantaran kematian datang secara mengejut. Nabi ibrahim juga meninggalkan siti hajar ditengah padang pasir yang gersang kerana sayang kepada isterinya dan menuntut untuk sama-sama taat pada perintah Allah.

Jadi mari perbetulkan makna sebenar kasih sayang kita kepada seseorang. Mungkin pada pandangan kita, kita telah menyempurnakan kasih sayang yang sebenar, tapi terkadang kita silap. Ibu bapa yang benar-benar sayang anaknya akan melepaskan anaknya untuk menyambung pelajaran walaupun terpaksa berjauhan. Jika kita benar-benar menyintai seseorang, maka kita akan mengahwininya atau jika tidak berkemampuan pun cukuplah setia itu menjadi mahar pendahuluan. Bukanlah sentiasa berhubung itu tanda sayangnya kerana sayang tetap di dalam hati.

Hakikat Kejayaan A1 - Anda sudah berjaya?

Tulisan ini hanyalah sebagai penenang dan juga sebagai pembangkit semangat kepada mereka yang gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM yang lepas. Ayuh, kita tetapkan diri untuk sentiasa bermotivasi.
-------------------------------------------------------------------------------------------

Kita pernah gembira setelah mendapat huruf A1 yang banyak dalam sijil keputusan SPM yang lalu. Ayah ibu sibuk dengan kenduri merebah seekor lembu tanda syukur. Bangga tertitip dibibir-bibir mereka bahwa anak harapan mereka ini telah berjaya meningkatkan maruah keluarga pada satu tingkat yang dirasa begitu kukuh.Pada hari ini, adakah perasaan yang sama dirasai oleh ibu ayah anda jika anda membuat masalah di Universiti seperti ditangkap khalwat atau mencuri barang koperasi?

Kebanyakan ibu bapa dan juga kita sendiri hanya menghadkan kejayaan itu hanya terdapat pada huruf A yang tersirat dalam keputusan SPM. Seakan-akan SPM itu dapat menentukan kejayaan yang berpanjangan. Ibu bapa berasa begitu tersinggung jika anak mereka gagal mendapat yang terbaik dalam pelajaran. Seolah-oleh ada arang yang terlekat pada muka mereka yang amat sukar untuk dicuci.



Saudara-saudara,
Adakah kita tahu, kejayaan kita kini juga tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan keputusan pelajaran anak-anak atau adik-adik kita di sekolah. Di manakah kejayaan anda dalam berurus niaga? bagaimana prestasi anda dalam perkerjaan? dan yang paling penting bagaimana peningkatan iman anda terhadap Allah setelah 20-30 tahun usia yang anda telah lalui. Anda sebenarnya tetap gagal kerana tidak dapat menyempurnakan kejayaan untuk diri sendiri.

Nah, sekarang mengapa perlu dipandang rendah kepada adik-adik atau anak-anak kita yang gagal dalam peperiksaan? Hanya kerana keputusan yang kurang cemerlang kita tidak lagi bersemangat untuk mendidik anak kita ke arah yang lebih sempurna. Cuba ukur pula kejayaan kita hari ini. Andai anda juga gagal, maka tidak ada perbezaan antara kegagalan anak anda atau adik anda dalam peperiksaan dengan kegagalan anda dalam melaksanakan tugas seharian seperti gagal mendidik anak-anak dan lain-lain.

Ya memang benar keputusan yang baik menjamin akan kecerahan masa hadapan anak-anak. SPM antara penentu awal dalam mewarnai setiap alur pelangi kejayaan. Namun tidak semua manusia mampu untuk dididik secara formal. Mungkin anak tersebut gagal dalam pelajaran dan berjaya dalam bidang yang lain. Kita sendiri telah melihat kejayaan banyak tokoh tanpa lulusan SPM. Bukan bererti mereka gagal SPM,bahkan kertas soalan SPM juga tidak pernah mereka lihat.

Bagaimana pula dengan kes pelajar pintar suatu ketika dahulu. Tidak perlu saya sebutkan namanya jika anda sudah fahami apa yang akan saya tuliskan ini. Kini akal dan imannya sudah rosak dengan perkara yang begitu memalukan. Kejayaan A1+++ memang miliknya suatu masa dahulu, tapi tidak lagi kini. Bila ini terjadi, ibu bapa akan merasa betapa indah dan mahalnya nikmat yang ALlah kurniakan berupa seorang anak yang masih mampu berbakti walaupun hanya memegang cangkul di ladang.

Usah berputus asa melihat keputusan SPM yang tidak seberapa. Dunia ini masih bernafas jika nyawa anda masih diberi Allah untuk berdegup. Teruskan berjalan di dunia ini dan carilah apa jua lubuk kejayaan yang dapat membahagiakan anda dan orang tersayang. Rezeki berupa kejayaan itu sangat luas seluasnya rahmat ALlah di muka bumi ini. Pilihan berada ditangan anda. Mulakan dengan tawakkal dan gerakkan tubuh badan menuju pilihan anda itu. Umat islam itu adalah orang-orang yang berjaya. Jadi, lakukanlah kerana Allah!

Video Program EMINENT 2009

Di sini saya 'upload'kan sedikit video semasa program EMINENT 2009 berlangsung. Berikut adalah slide pada hari penutup EMINENT 2009.




Sebahagian dari slide show penutup





** Pertama kali Bazli UNIC buat konsert dengan suara serak (speaker bermasalah)

Tips Hilangkan Gundah dan Kesedihan

Masyarakat hari ini diselubungi dengan perasaan gundah gulana dan sentiasa bersesak dalam kesedihan. Bila perasaan ini mula terhasil, mereka tidak mampu mengawal diri dan akhirnya berlakulah kesedihan yang lama. Semua perkerjaan tertangguh dan kesihatan tergugat. Kesedihan manusia memang akan wujud walaupun dengan suatu sebab yang kecil dan ringan. Kematian anak kucing yang baru dijaga selama seminggu juga boleh mengakibatkan kesedihan.


Nabi Muhammad saw juga pernah bersedih dengan kematian orang yang dikasihinya iaitu Siti Khadijah. Namun itu tidak bermakna nabi tidak mempunyai kekuatan diri. Kesedihan itu fitrah manusia. Namun ia tidak boleh dibiar terus membiak di dalam jiwa.

Sifat redha adalah penenang bagi jiwa yang kontang dek kemarau kesedihan. Inilah salah satu sifat yang dianjurkan dalam islam untuk diamalkan. Secara realitinya setiap kesedihan sesuatu yang kita tidak ingin berlaku itu akan mudah kita lupakan dengan sifat redha.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Jagalah apa yang diberikan Allah serta janganlah berputus asa. Jika engkau ditimpa musibah, maka janganlah berkata: “seandainya aku begini dan begitu”, tetapi katakanlah, “ini adalah taqdir Allah dan Dia mengerjakan apa yang dikehendakiNya”. Jika engkau mengatakan perkara itu, bererti membuka peluang untuk syaitan.

Ramai yang hidup dalam gundah gulana. Fikiran seharian terganggung dengn pelbagai ragam masalah. Wang sentiasa cukup namun diri yang sentiasa tidak pernah puas dengan sumber material menjadi fikiran buntu tidak pernah sudah. Kerugian yang sedikit di dalam perniagaan cukup untuk membuatkan seseorang itu tidak tenang tidur.

Redhalah dengan kehidupan anda sekarang atas apa yang berlaku. Kelak klita akan mampu meneruskan kehidupan ini dengan bahagia. Inilah mengapa sebabnya semua orang Islam wajib untuk beriman dengan taqdir Allah Ta'ala. Apa yang ditaqdirkan oleh Allah pasti akan berlaku walau betapa kuat diri kita untuk menolaknya. Begitu juga sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Usahlah bersedih dengan rezeki yang sedikit. Ia tetap pemberian Allah. Yakinlah bahwa rezeki tetap akan datang kepada tuannya seperti juga maut datang tanpa dipinta oleh si hidup. Jangan juga menyalahkan Allah dan mempersoalkan akan keadilanNya. Walaubagaimana kuat anda bekerja kelak tiba-tiba dipecat, anda akan menderita juga.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Janganlah engkau menuduh Allah terhadap apa yang telah ditetapkannya kepadamu. (Hadith riwayat Ahmad) Ketahuilah setiap apa yang Allah lakukan dalam hidup kita adalah kebaikan. Apakah kebaikan itu. Kebaikan akan datang bila anda bersabar;

Pertama: Pahala akan diberikan seandainya anda bersyukur di atas kejayaan yang diberi.

Kedua: Pahala juga akan diberikan andai anda sabar dalam kegagalan yang ditimpa.

Oleh itu selesai dari apa-apa pekerjaan, serahkanlah kepada Allah. Fahamilah takdir Allah itu bukan untuk menyiksa manusia tapi untuk memperkukuhkan jati diri dalam hati kita.

Lakukan kerja dengan gembira

Saya baru pulang dari program yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di sini. Program yang menggabungkan seluruh pelajar yang berada di Tanta samada pelajar pengajian Islam mahupun pelajar yang berada di kuliah perubatan.

Dalam program ini, saya ditugaskan untuk membuat satu ‘slide’ yang menceritakan rentetan sepanjang program. Saya menerima tugasan tersebut dengan rela hati apabila tiada yang sudi untuk melakukan tugas itu. Namun bahan yang diserahkan hanya sehari sebelum program penutup itu berlangsung, menjadikan fikiran saya agak kucar-kacir.

Saya sebenarnya bukanlah mempunyai waktu terluang yang banyak. Pelbagai perkara yang perlu saya lakukan pada minggu ini. Namun untuk berkhidmat kepada persatuan saya relakan juga.Kelmarin saya cuba bercekang mata untuk menyiapkan slide yang di minta untuk dipersembahkan pada hari ini (malam).

Hari ini, slide saya ditayangkan. Apa yang terjadi? Adakah slide saya itu berserabut atau ada yang tidak kena? Pada waktu itu, speaker yang berada di dewan tidak dapat berfungsi dengan baik. Maka slide yang dihasilkan bergerak bisu sendirian. Hati sedikit kecewa bila teringat kembali masa yang digunakan dengan bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya.

Pengajaran yang saya dapat ialah, saya tetap rasakan kegembiraan seusai menyiapkan kerja itu dengan baik. Perasaan tertekan juga tidak terlintas dalam fikiran. Apa yang saya fikirkan ialah, saya telah mendapat ilmu baru dalam melakukan kerja animasi itu kelmarin. Memang sudah lama saya tinggalkan bidang animasi. Saya hanya tumpukan pada website sahaja. Waktu terakhir ialah ketika membuat slide show di tingkatan lima. Walaupun tidak dipuji oleh sahabat (kerana mereka berpendapat, kerja itu dilakukan oleh guru saya), saya tetap berpuas hati kerana saya dapat menyiapkan suatu kerja yang tidak saya jangkakan hasilnya yang begitu memuaskan bersesuaian dengan usia saya pada waktu itu.

Apa pun bila anda lakukan suatu kerja dengan gembira, perasaan hampa bila kerja itu tidak menjadi akan hilang. Berlainan orang yang melakukan kerja kerana terpaksa. Orang itu akan berasa tertekan yang amat sangat jika kerjanya itu gagal mencapai hasil yang sepatutnya. Ikhlaskan pada setiap pekerjaan kerana Allah Ta’ala. Niat untuk melakukan kerja yang baik walaupun kurang mutunya tetap diterima Allah sebagai ibadah.

InsyaALlah saya akan 'upload'kan video tayangan itu di youtube.

Menyempurnakan Pemintaan Kekasih

Kekasih adalah insan yang sangat kita kasihi. Bagi mereka yang sangat mencintai kekasihnya akan sanggup melakukan apa sahaja permintaan orang yang dikasihi walaupun dalam keadaan terdesak. Mungkin anda pernah mendengar atau mungkin juga tahu cerita cinta Laila Majnun. Cinta yang membuatkan orang menjadi semakin meng’gila’ kepada kekasihnya setiap waktu. Tanpa hadir bayangan raut kekasih dalam hati menjadi rindu tak keruan setiap saat.


Inilah tabiat (kebiasaan ) manusia yang mempunyai perasaan kasih kepada seseorang. Seboleh mampu mereka menjaga apa yang tidak disukai oleh kekasihnya. Seboleh mampu juga mereka membuat apa yang dipinta walaupun tanpa alasan yang pasti. Itulah yang berlaku kini antara cinta anak muda di arena Cinta Berkasih Zaman Moden. Namun kasih itu tidak salah malah bermanfaat jika ditujukan pada tempat yang sebenar. Apakah tempat yang sebenar itu?

Mari kita lihat satu contoh kisah para sahabat dalam mencintai Rasulullah saw. Para sahabat mempunyai cinta yang mendalam terhadap baginda saw melebihi isteri dan anak-anak mereka. Apa yang diminta, maka itulah yang akan mereka lakukan. Apa yang dibenci, mereka juga akan turut membenci. Satu kisah yang ingin saya kongsikan, mengenai seorang sahabat yang bernama Waa’il bin Hijr. Beliau berkata: “Pada ketika aku menjumpai Rasulullah dalam keadaan rambutku sangat panjang. Apabila sampai dihadapan Rasulullah saw, baginda saw bersabda: Zubab! Zubab! Saya menyangka Baginda mengatakaan itu kerana rambut saya, lalu saya pulang dan menyuruh orang memotong rambut saya. Pada keesokan hari ketika saya berjumpa semula, Baginda saw bersabda: Kata-kata saya itu tidak ditujukan kepada rambut kamu. Namun perbuatan kamu itu baik. (abu daud)

Zubab bermakna suatu perkara celaan atau benda yang tidak elok. Dalam kisah ini,secara jelas kita melihat bahawa sabdaan Nabi itu bukanlah ditujukan kepada rambutnya. Namun kefahaman yang berlaku di dalam otak seorang Pencinta akan mudah terkesan dengan kata-kata orang yang dicintai. Inilah bukti kecintaan para sahabat terhadap baginda. Semua suruhan itu adalah suatu yang pasti untuk dilakukan walaupun dalam keadaan payah.

Namun apa yang terjadi hari ini adalah:
a) Gadis remaja sanggup melakukan apa sahaja permintaan kekasihnya walaupun diajak untuk berzina. Apakah kebaikan yang pernah dilakukan olehnya sehingga ada yang mampu menuruti kehendak syaitan ini?

b) Terlepas solat fardhu kerana ber'dating' terlalu lama. Hendak menegur tapi malu. Bila ini berlaku, bermakna keagungan kekasih anda itu sudah berada pada taraf teratas; yang perlu anda sanjung tinggi.


Jadi adakah anda akan tunaikan apa yang Rasulullah saw minta sepertimana anda tunaikan permintaan kekasih anda? Andai anda tidak mampu itu bererti kecintaan kepada Rasulullah saw amat kurang. Ya, memang amat-amat kurang! Memang kita akui mencintai Nabi saw. Namun secara realitinya, cinta manusia akan jatuh untuk seorang sahaja. Walaupun anda sudah beristeri empat, pasti ada antara seorang itu yang paling anda sayang (dari pandangan orang yang sudah berumah tangga). Antara lima orang anak, ada seorang yang paling anda sayang. Antara 100 orang murid, ada seorang yang paling anda kasihi. Jadi manusia yang paling anda kasih, itulah kekasih anda. Adakah persoalan di atas sudah terjawab?

Kesimpulannya, adalah satu pendutaan andai kita mengaku cinta Rasulullah itu adalah yang utama bagi kita jika ada kekasih lain yang mendahului baginda saw. Anda tidak akan mampu untuk menunaikan Sunnah baginda tanpa menjadikannya sebagai cinta anda yang utama. Saya tidak menyeru kepada anda untuk membenci orang lain selain baginda saw. Yang perlu anda lakukan adalah mencintai Rasulullah saw dan meletakkannya sebagai tangga teratas di lubuk hati. Maka anda akan tetap mencintai semua muslimin kerana baginda juga sayangkan seluruh umatnya.

Mencapai kejayaan dengan Sunnah Rasulullah

Sumber kejayaan adalah bila kita mengikuti agama. Islam telah dipaparkan melalui kehidupan seharian Nabi Muhammad saw. Beliau menunjukkan cara hidup manusia yang paling sempurna. Sesiapa yang mengikutinya akan mendapat kejayaan. Sudah terlihat bahawa orang yang paling taat dalam mengikuti Rasulullah adalah dari golongan sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Tinggal di dalam syurga berserta nikmatnya adalah satu ‘kejayaan’ yang paling besar.

Kita dapat melihat adil dan bijaksananya Allah dalam mengatur agamaNya agar mudah diikuti manusia dengan mendatangkan para Nabi dan Rasul dari kalangan manusia. Andainya dijadikan para Rasul dari malaikat susah tentu hal ini agak tidak adil kerana ada pelbagai perbuatan malaikat yang tidak mampu untuk kita ikuti. Oleh itu manusia tidak boleh berdalih untuk tidak mengikut perintah Allah. Ini kerana semua perintah Allah itu mampu dilakukan oleh semua manusia secara umumnya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud : Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”. (surah alFurqan 7-8)

Rasulullah adalah contoh untuk semua golongan. Beliau dahulunya adalah seorang anak kecil yatim yang berhati tabah juga seorang anak saudara yang taat dan dikasihi oleh bapa saudaranya. Beliau suami yang ikhlas untuk isterinya dan bapa yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang mulia. Beliau juga adalah ketua pahlawan yang berani dan betanggungjawab dan bersama-sama turun dimedan pertempuran.

Jadi bagaimanakah kita mampu mengatakan perbuatan selain Rasulullah saw adalah yang terbaik? Kita bangga mencontohi tokoh barat yang dimaklumi sesat dan banyak membawa keburukan itu. Perlakuan artis disanjung walaupun mereka tidak pernah memberi kebaikan kepada kita. Gaya berjalan dan fesyen berbaju mengikut kehendak terkini. Sedangkan kita tahu kebanyakan mereka sendiri tidaklah sehebat mana. Kehidupan rumah tangga yang hancur serta mereka gagal mendidik anak-anak.

Kita melihat peribadi RAsulullah saw begitu teguh tanpa berubah sepertimana kehidupan seorang manusia biasa. Bayangkan hidup dalam kumpulan masyarakat jahiliah sedikit pun tidak terkesan ke dalam hati baginda saw. Inilah tarbiah Allah menunjukkan bahawa akhlak baginda itu adalah yang terpilih. Baginda dididik secara terus oleh Allah melalui malaikatnya. Seterusnya baginda mengajar ummat untuk taat kepada Allah.

Saudara, apakah perkaitan sebuah kemenangan dan kejayaan dengan mengikuti sunnah Rasulullah saw?

Kita sudah pun maklum bahawa kejayaan itu berada dalam genggaman Allah Ta’ala. Dia memberi kejayaan pada sesiapa yang dikehendakinya. Segala nikmat dan rahmat diberikan kepada hambaNya yang dekat padaNya melalui amal soleh dan ketaatan. Nabi Muhammad saw adalah hamba yang dekat dengan Allah dan digelar sebagai kekasihNya. Perbuatan kekasihNya itu terjaga dari sebarang dosa. Maka sesiapa yang mengikuti dengan taat segala suruhan Rasulullah saw itu dalam kehidupan, dia juga akan mendapat kejayaan. Oleh itu umat islam pada hari ini juga mampu berjaya seperti para sahabat walaupun baginda sudah ratusan tahun meninggalkan kita. Asasnya tetap sama iaitu keimanan yang teguh kepada Allah yang membawakan kita kearah kejayaan. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengamalkan amal shalih, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap beribadah kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.”(anNur: 55)

Kejayaan dalam kehidupan seharian juga begitu. Tips yang berguna untuk kita amalkan dalam pelbagai pekerjaan telah ditunjukkan. Makin dekat dengan Allah, segala urusan akan dipermudahkan. Contoh Amalan taqarrub ini biasa dilakukan oleh pelajar-pelajar yang ingin mengambil peperiksaan. (Untuk mendapat kemenangan dalam kerusi parlimen juga perlu solat hajat). Jadi untuk mendapat kejayaan yang berterusan kita perlu mempertingkatkan keimanan tanpa batasan waktu.

Kejayaan umat terdahulu adalah kerana kesan didikan dan tarbiah secara langsung dari Nabi saw. Kesan yang sangat mendalam itu menjadikan para sahabat dan tabi’in begitu agung dirasakan pada zaman itu. Walaupun ada antara mereka yang tidak begitu gagah dengan senjata dan juga miskin, namun mereka mampu membawa islam hampir ke seluruh dunia.

Janganlah diertikan kejayaan itu sebagai mendapat apa yang dikehendaki dalam waktu yang singkat. Mereka yang berjaya dalam waktu yang singkat juga akan mengalami kegagalan dalam waktu yang singkat. Andai kejayaan itu digantikan dengan pahala juga amat memadai jika kita sabar atas kegagalan.

Marilah kita pulang untuk mencontohi Nabi saw dalam segala aspek. Nabi dijadikan kekasih Allah. Maka sesiapa yang mencintai kekasih Allah, Allah juga akan mengasihinya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran: 31)

Rahsia Semangat seorang Muslim (Bahagian 2)

2. Yakin dengan janji Allah.

Seorang yang yakin dengan apa yang Allah janjikan di dalam al Quran berupa syurga dan nikmatnya akan sentiasa menuntut agar dia diberikan dengan apa yang telah dijanjikan itu. Untuk mendapatkan apa yang Allah janjikan itu dia perlu patuh dan ‘membuat’ apa yang disuruh oleh Allah dan ‘meninggalkan’ perkara yang dilarang. Semangat untuk ‘membuat’ dan ‘meninggalkan’ perkara-perkara itu akan berlaku sekiranya mereka yakin dengan janji Allah di akhirat kelak. Contohnya jika kita dijanjikan oleh ibu ayah yang mereka akan memberikan kita hadiah apabila berjaya dalam peperiksaan, kita akan bersemangat untuk mendapatkannya. Segala usaha kita akan berterusan selagi tidak menemui kejayaan seterusnya menerima hadiah itu.

Allah menjanjikan dengan kemenangan. Firman ALLah Ta’ala yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati. (Surah Ali Imran). Allah sentiasa bersama dengan orang yang beriman. Kita melihat apabila seseorang yang ditinggalkan seperti sahabat karib yang selalu menjadi pembantunya, atau seorang yang menjadi inspirasinya dalam hidup meninggal dunia, dia akan merasakan putus pengharapan dari segalanya pada kehidupan berbanding sebelum ini. Sedangkan Allah sekali-kali tidak pernah alpa dari bersama orang mukmin walaupun sesaat. Semangat berkobar terjadi kerana orang mukmin sudah mengetahui yang mereka sedang bersama pentadbir alam, kuasa di atas semua kuasa yang ada di alam ini. Raja pemerintah semua pemerintahan.

Janji Allah dengan kenikmatan. Kenikmatan berupa syurga dan segala apa yang ada di dalamnya menjadikan seorang mukmin itu perindu akhirat. Rindu untuk bersama dengan Rasulullah, para Sahabat r.anhum dan orang-orang soleh. Gambaran minda yang terlukis akan kenikmatan itu walaupun tidak pernah melihatnya menjadikan diri mereka merasa asyik bila mengingati janji Allah Ta’ala itu. Dengan sebab itu mereka akan lakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dengan cara yang paling baik kerana di sebalik perbuatan tersebut ada habuan yang menanti. Pendek kata alang-alang membuat pekerjaan, biar sampai menjadi.

Semangat untuk mendapatkan syahid perkara paling dinantikan oleh orang mukmin. Mereka melihat janji Allah di syurga lebih mahal dan lebih indah dari apa yang terpapar di atas muka dunia ini. Perjalanan menuju kesyahidan itu membawa mereka untuk sanggup melakukan apa sahaja hingga mereka menuju ke akhir hayat. Kita melihat hal ini tidak mungkin terjadi pada seorang kafir. Dari satu sudut bila mereka keputusan bom dan alat senjata dalam peperangan, mereka akan menyerah kalah atau membunuh diri. Hal yang sama tidak terjadi pada orang mukmin. Mereka yang berada di palestin contohnya tidaklah memiliki kekuatan material berbanding pihak zionis di sana. Semangat untuk syahid melonjakkan diri mereka ke arah kemenangan walaupun kadangkala syahid tidak datang menjemput mereka.

Kerana itu kita melihat semangat yang ada pada seorang muslim, walaupun mereka tidak punya kepentingan diri di dunia ini, tidak punya orang yang membakar semangat mereka tetapi mereka terus bersemangat. Ini terjadi kerana mereka melakukan sesuatu pekerjaan kerana ALLah dan bukan kerana manusia. Sanjungan manusia akan berakhir bila manusia itu sudah tidak ada lagi.

Rahsia Semangat seorang Muslim (Bahagian 1)

Apakah rahsia kejayaan orang-orang beriman pada zaman Rasulullah saw di dalam apa jua peperangan? Kenapa semangat mereka tidak pernah luntur sehingga ke akhir hayat? Yang terbaru ini kita melihat pergerakan HAMAS yang terus mempertahankan tanah Gaza dari dicerobohi sehingga boleh dikatakan sebagai berjaya menundukkan israel dalam mematahkan setiap serangan. Bara semangat mereka tidak pernah padam walaupun anak, isteri dan sanak saudara mati terbunuh. Rumah mereka menjadi serpihan tanah rata dan badan mereka sentiasa dalam keletihan bukanlah menjadi penghalang untuk bersemangat menentang musuh.

Terlebih dahulu saya ingin mengertikan semangat di sini ialah satu perasaan ghairah untuk meraih matlamat yang mana perasaan ini akhirnya menghasilkan pergerakan diri untuk menuju ke arah maklamat tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang berjaya untuk memasuki universiti adalah kerana di dasari satu perasaan yang dapat ‘push’ mereka untuk mencapai matlamat (masuk universiti) tersebut. Itulah yang dinamakan semangat. Atau pun ketika melihat keuntungan hasil jualan seorang sahabat dalam perniagaannya. Lantas diri anda bercita-cita untuk berjaya sepertinya. Maka perasaan yang timbul untuk menjejaki kejayaan sahabat anda itu adalah merupakan semangat.

Semangat dapat dipertahankan kerana mempunyai tujuan khusus, seperti ingin lulus dalam SPM untuk memasuki Universiti yang paling popular di tanah air. Dan juga ingin menjadi kaya setelah melihat kejayaan sahabat sendiri. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mencapai maklamat itu. Seorang pelajar akan mengurangi tidur dan memperbanyakkan latihan. Seorang yang ingin berniaga pula sanggup untuk menahan lapar dan mengurangkan perbelanjaan untuk menyimpan duit sebagai modal berniaga. Semua ini tidak akan mungkin berlaku tanpa ada semangat yang berkobar-kobar.

Semanagt boleh luntur?

Semangat manusia yang berkobar-kobar tadi boleh menjadi luntur disebabkan beberapa perkara. Sebagi contoh, pelajar SPM yang bersemangat untuk mendapatkan kejayanan maksimum boleh berakhir dengan mendengar berita kematian ibu bapa ataupun kemungkinan dia mengalami putus cinta dan sebagainya. Begitu juga seorang yang ingin mula berniaga akan putus semangatnya bila kekurangan modal.

Baik, kita berbalik semula kepada perbicaraan sebelum ini. Bagaimana semangat seorang yang beriman kepada Allah tidak pernah luntur?

Perlu kita selidiki atas dasar apa yang boleh membuatkan seorang itu bersemangat. Sebagai contoh orang ingin membuat kerja amal membantu mengurangkan kesusahan rakyat. Akhirnya semangatnya untuk membantu hilang pada suatu ketika oleh kerana pelakuan mereka itu tidak dihargai oleh orang lain. Orang muslim membantu orang lain bukan didasari oleh dunia tetapi adalah atas dasar pertintah Allah. Jadi andai disukai atau tidak, mereka tetap melakukan perkara-perkara kebaikan itu. Seorang muslim sentiasa bersemangat dalam mengejar redha Allah. Mereka mengejar apa yang disukai oleh Allah. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Mereka berlumba2 mencari redha Allah (fathir:32)

Di sini adalah antara beberapa faktor menyumbang ke arah semangat yang tulus dan tidak akan lagi layu digugah kehidupan duniawi.


  1. Allah sebagai sumber semangat

Orang beriman yakin akan kewujudan Allah sebagai pemelihara mereka. Mereka tahu akan kebesaranNya yang meliputi seluruh alam. Tanpa Allah swt, setiap pergerakan tidak akan terjadi. Apakah kaitannya beriman kepada Allah Ta’ala dengan semangat?

Orang muslim akan sentiasa bersemangat dalam hidup kerana mereka tahu mereka tidak hidup bersendirian. Allah Ta’ala sentiasa ada bersama mereka. Oleh itu mereka akan redha dengan segala kelemahan, kekurangan, dan kekalahan kerana mereka yakin Allah telah membuat pilihan yang terbaik untuk mereka.

Oleh kerana mereka yakin ALlah itu wujud dan pemerintahanNya menyeluruh ke segenap alam ini, mereka terus bersemangat dan bermotivasi. Tidak ada yang dapat menenangkan hati selain duduk di dalam pemeliharaan Allah Ta’ala.

Contohnya apabila kita duduk bersama dengan orang yang berkedudukan dan mempunyai kuasa, kita akan rasa tenteram dan tenang. Bahkan kita akan berani bersuara kerana kita yakin orang yang berkuasa itu akan mempertahankan kita (seperti yang terjadi dalam dunia politik sekarang).

Oleh itu, andai ada ujian menimpa, mereka tetap melakukan perbuatan tersebut kerana yakin Allah akan membantu mereka suatu hari nanti. Setiap perkerjaan mereka akan lakukan yang terbaik kerana mereka yakin, Allah melihat perbuatan itu dan akan diberi pahala. Sebagai contoh: seorang murid akan bersemangat membuat latihan kerja rumah yang diberi guru ketika ibu bapa menemani mereka. Apabila ibu bapa keluar dari biliknya, dia seolah-olah tidak lagi bersemangat kerana seakan-akan sudah tidak di perhatikan lagi dan tidak mendapat motivasi. Sebagai seorang Muslim, mereka percaya Allah sentiasa bersama mereka dalam semua keadaan dan waktu. Hal ini membuatkan mereka bersemangat dalam membuat perkerjaan pada semua keadaan dan waktu. Dengan ini semangat mereka tidak pernah putus!

Di sinilah kita melihat satu dasar atau sumber yang perlu wujud untuk kita lebih bersemangat. Iaitu membuat sesuatu hanya untuk mencari keredhoan Allah. Jika kita membuat satu perkara dengan penuh semangat disebabkan oleh orang atasan, pangkat, harta dan lain-lain, semangat seperti ini tidak akan kekal lama. Ini kerana apabila orang atasan, pangkat, dan harta itu musnah dan binasa, ia turut membawa kehancuran pada semangat yang wujud itu. Sebagai contoh seorang yang ingin menjadi ahli perniagaan yang besar dan membangun serta disebut-sebut orang akan namanya. Dia akan bertungkus lumus untuk mencapai hasrat duniawinya itu dengan pelbagai pengorbanan yang diluar jangkaan. Pagi hari terpaksa keluar awal untuk menguruskan pelanggan dan menerima tempahan. Dia akan menolak apa-apa perkara yang tidak dapat menguntungkannya seperti menolong orang dan membuat kerja amal. Kita melihat ‘semangatnya’ untuk mengejar material duniawi ini tidak akan kekal. Apabila seseorang itu menemui jalan buntu seperti bermasalah dengan pinjaman wang, stor terbakar dan lain-lain, maka di saat itulah semangatnya akan berakhir dan cita-citanya juga turut musnah.

Berbanding seorang muslim yang melakukan kerja dengan penuh semangat, di dasari hanya semata-mata mencari redho Allah Ta’ala, semangatnya itu akan sentiasa menyala-nyala dan tidak pernah padam. Sabda Rasulullah SAW Rasulullah (saw): "Perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ialah perbuatan yang dilakukan dengan istiqamah".Ia berbeza dengan orang yang bersemangat hanya semata-mata kerana dunia. Jadi apabila seorang muslim itu mengalami ujian seperti kerugian dan kemusnahan, dia akan kembali pada Allah. Dia mengetahui itu adalah ujian Allah. Dia tetap akan berusaha melakukan kerjanya dengan cara yang paling terbaik. Kejayaan dan kegagalan adalah di atas kehendak Allah Ta’ala. Hasilnya semangatnya itu tidak akan hilang dan cita-citanya juga turut berhasil kerana dia yakin Allah sentiasa bersamanya pada setiap waktu.


....Kita akan bersambung pada pos yang akan datang.