Mencapai kejayaan dengan Sunnah Rasulullah

Sumber kejayaan adalah bila kita mengikuti agama. Islam telah dipaparkan melalui kehidupan seharian Nabi Muhammad saw. Beliau menunjukkan cara hidup manusia yang paling sempurna. Sesiapa yang mengikutinya akan mendapat kejayaan. Sudah terlihat bahawa orang yang paling taat dalam mengikuti Rasulullah adalah dari golongan sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Tinggal di dalam syurga berserta nikmatnya adalah satu ‘kejayaan’ yang paling besar.

Kita dapat melihat adil dan bijaksananya Allah dalam mengatur agamaNya agar mudah diikuti manusia dengan mendatangkan para Nabi dan Rasul dari kalangan manusia. Andainya dijadikan para Rasul dari malaikat susah tentu hal ini agak tidak adil kerana ada pelbagai perbuatan malaikat yang tidak mampu untuk kita ikuti. Oleh itu manusia tidak boleh berdalih untuk tidak mengikut perintah Allah. Ini kerana semua perintah Allah itu mampu dilakukan oleh semua manusia secara umumnya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud : Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”. (surah alFurqan 7-8)

Rasulullah adalah contoh untuk semua golongan. Beliau dahulunya adalah seorang anak kecil yatim yang berhati tabah juga seorang anak saudara yang taat dan dikasihi oleh bapa saudaranya. Beliau suami yang ikhlas untuk isterinya dan bapa yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang mulia. Beliau juga adalah ketua pahlawan yang berani dan betanggungjawab dan bersama-sama turun dimedan pertempuran.

Jadi bagaimanakah kita mampu mengatakan perbuatan selain Rasulullah saw adalah yang terbaik? Kita bangga mencontohi tokoh barat yang dimaklumi sesat dan banyak membawa keburukan itu. Perlakuan artis disanjung walaupun mereka tidak pernah memberi kebaikan kepada kita. Gaya berjalan dan fesyen berbaju mengikut kehendak terkini. Sedangkan kita tahu kebanyakan mereka sendiri tidaklah sehebat mana. Kehidupan rumah tangga yang hancur serta mereka gagal mendidik anak-anak.

Kita melihat peribadi RAsulullah saw begitu teguh tanpa berubah sepertimana kehidupan seorang manusia biasa. Bayangkan hidup dalam kumpulan masyarakat jahiliah sedikit pun tidak terkesan ke dalam hati baginda saw. Inilah tarbiah Allah menunjukkan bahawa akhlak baginda itu adalah yang terpilih. Baginda dididik secara terus oleh Allah melalui malaikatnya. Seterusnya baginda mengajar ummat untuk taat kepada Allah.

Saudara, apakah perkaitan sebuah kemenangan dan kejayaan dengan mengikuti sunnah Rasulullah saw?

Kita sudah pun maklum bahawa kejayaan itu berada dalam genggaman Allah Ta’ala. Dia memberi kejayaan pada sesiapa yang dikehendakinya. Segala nikmat dan rahmat diberikan kepada hambaNya yang dekat padaNya melalui amal soleh dan ketaatan. Nabi Muhammad saw adalah hamba yang dekat dengan Allah dan digelar sebagai kekasihNya. Perbuatan kekasihNya itu terjaga dari sebarang dosa. Maka sesiapa yang mengikuti dengan taat segala suruhan Rasulullah saw itu dalam kehidupan, dia juga akan mendapat kejayaan. Oleh itu umat islam pada hari ini juga mampu berjaya seperti para sahabat walaupun baginda sudah ratusan tahun meninggalkan kita. Asasnya tetap sama iaitu keimanan yang teguh kepada Allah yang membawakan kita kearah kejayaan. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengamalkan amal shalih, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap beribadah kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku.”(anNur: 55)

Kejayaan dalam kehidupan seharian juga begitu. Tips yang berguna untuk kita amalkan dalam pelbagai pekerjaan telah ditunjukkan. Makin dekat dengan Allah, segala urusan akan dipermudahkan. Contoh Amalan taqarrub ini biasa dilakukan oleh pelajar-pelajar yang ingin mengambil peperiksaan. (Untuk mendapat kemenangan dalam kerusi parlimen juga perlu solat hajat). Jadi untuk mendapat kejayaan yang berterusan kita perlu mempertingkatkan keimanan tanpa batasan waktu.

Kejayaan umat terdahulu adalah kerana kesan didikan dan tarbiah secara langsung dari Nabi saw. Kesan yang sangat mendalam itu menjadikan para sahabat dan tabi’in begitu agung dirasakan pada zaman itu. Walaupun ada antara mereka yang tidak begitu gagah dengan senjata dan juga miskin, namun mereka mampu membawa islam hampir ke seluruh dunia.

Janganlah diertikan kejayaan itu sebagai mendapat apa yang dikehendaki dalam waktu yang singkat. Mereka yang berjaya dalam waktu yang singkat juga akan mengalami kegagalan dalam waktu yang singkat. Andai kejayaan itu digantikan dengan pahala juga amat memadai jika kita sabar atas kegagalan.

Marilah kita pulang untuk mencontohi Nabi saw dalam segala aspek. Nabi dijadikan kekasih Allah. Maka sesiapa yang mencintai kekasih Allah, Allah juga akan mengasihinya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran: 31)

4 komen:

Tanpa Nama said...

Nabi Muhammad s.a.w.adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.
oleh itu marilah kita bersama-sama berselawat dan melakukan sunnah-sunnah Nabi Muhammad S.a.w.
SELAMAT MEYAMBUT MAULIDUR RASUL.

muhriz rahmat said...

wahai insan Tanpa Nama, apakah namamu? Andai tidak punya link, sila tinggalkan nama agar mudah untukku kenali. Apa pun ucapan terima kasih khas dariku

Tanpa Nama said...

assalamuialaikum

Tanpa Nama said...

assalamuialaikum

Catat Ulasan