Motivasi Hadapi Saat-saat Peperiksaan

Peperiksaan bertandang lagi pada sudut akhir pembelajaran. Tanpa peperiksaan, terasa amat kabur kualiti ilmu kita selama ini. Tanpa peperiksaan juga, mungkin kesahihan dalam pengkajian ilmu kita selama ini tidak dapat diperbetul. Jadi usah pandang peperiksaan itu sebagai musuh yang dapat menghancurkan masa lapang anda.
Untuk para pelajar yang akan diperiksa ilmunya, di waktu ini anda akan sibuk membaca buku sambil sekali sekala menjeling entry post saya ini. Tidak mengapa. Dalam kadar masa 5 minit ini saya mahu kongsikan bersama anda satu teknik membakar semangat di musim peperiksaan. (Dan sememangnya semangat terhadap pelajaran mula membakar di waktu peperiksaan, tidak diwaktu lainnya - maaf jika gurisan itu timbul dihatimu..)

Ciptakan satu ayat PANAS yang memang anda tidak boleh duduk senang setelah membacanya WALAUPUN hanya sekali! Ingat ya.. ayat PANAS, bukan ayat GANAS.. Bina satu ayat yang dapat menakutkan anda sekiranya anda tidak lulus peperiksaan. Sebagai contoh "Jika aku tidak lulus pada tahun terakhir ini, kekasih ku nekad untuk berkahwin dengan orang lain" Barangkali ini tidak sesuai. Cuba pula yang ini.. "Jangan kerana aku lalai sesaat, aku terpaksa menunggu setahun lagi untuk menduduki peperiksaan ini". Ini sesuai untuk mereka yang mengikuti peperiksaan mengikut fasal, atau tahun. Di Universiti alAzhar ini contohnya, andai anda gagal 3 mata pelajaran sahaja pun, anda layak menerima satu tahun tambahan semata-mata untuk meluluskan 3 mata pelajaran yang gagal. Jadi ayat ini amat sesuai. Ciptakan apa saja yang membuatkan anda tidak senang duduk setelah membacanya. Lekatkan di dinding, di daun pintu almari, di tulis di telefon bimbit dan di mana saja yang di rasa mudah terlihat.

InsyaAllah, di musim peperiksaan, tingkatkan motivasi anda pada setiap saat. Sama ada memberikan motivasi atau pun menerima nasihat dari orang lain terutamanya mutiara kalam ulama-ulama. Ingatlah dahulunya mereka juga seorang pelajar!

Aku Ingin Berubah!

"Aku Ingin berubah! Ya, Aku Ingin berubah!" Kata-kata ini hanya memperakui perubahan diri dalam tempoh sehari sahaja. Walaupun lelah dada mengulangnya 100 kali dengan satu nafas, ia tidak mampu memberikan kesan yang jitu dalam diri. Memang kelihatan ada perubahan. Namun hanya sementara. Perubahan ini bukan semudah menjadi ultraman ataupun gaban dalam sekelip mata, tapi ini adalah satu perubaahan diri dari negatif kepada positif.



Perubahan sebenarnya lahir bukan hanya dari kata-kata sahaja. Perubahan itu timbul dari gelodak hati kita. Kerana itu hati disebut sebagai qalbun di dalam Bahasa Arab, yang membawa maksud antaranya; berbolak balik atau tidak tetap atau berubah.
Firman Allah Ta'ala:
وَنُقَلِّبُ أَفۡـِٔدَتَہُمۡ وَأَبۡصَـٰرَهُمۡ كَمَا لَمۡ يُؤۡمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬ وَنَذَرُهُمۡ فِى طُغۡيَـٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ
Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat. (Surah Al An'aam; ayat 110)

Sebagai contoh, anda berjanji untuk tidak meninggalkan solat fardhu pada awal waktu dengan berjemaah. Dalam tempoh masa 2 -3 hari ini anda kelihatan aktif bergiat keluar masuk masjid. Namun setelah beberapa hari berlalu, perubahan itu semakin luput dari jasad. Ke mana ia menghilang?

Sebenarnya suasana juga memainkan peranan dalam perubahan diri menuju ke arah kebaikan. Suasana yang membuatkan hati mula berubah yang kemudiannya memberi kesan kepada pengurangan iman anda. Anda ingin belajar mengikut masa. Namun anda masih duduk di dalam sebuah rumah yang dilingkungan oleh penggemar bola sepak yang sentiasa terduduk keras di hadapan televisyen. Ahli rumah anda seramai 6 orang. Hanya anda seorang sahaja yang kini terkial menongkah dan melawan arus sifat negatif dengan sampan azam yang masih baru itu. Bolehkan ia bertahan untuk berlawan dengan ombak yang sekuat 6 orang itu? Gagah itu tidak ada pada anda di saat ini.

Oleh itu, jika anda masih lemah, masih baru untuk melakukan perubahan, maka bersahabatlah dengan orang-orang yang sudah beruabah. Bergaullah dengan mereka yang selalu ke masjid, walaupun anda tidak berniat langsung untuk menjadi AJK Masjid. Bergaul dengan mereka yang rajin belajar. InsyaAllah ada kesan dan peningkatannya.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya petik sedikit kata-kata mutiara Al-Imam Abdullah bin Alwi Alhaddad sebagai penawar hati yang leka. "Usahakanlah diri anda untuk selalu bersahabat dengan orang-orang yang berakhlak mulia agar dapat meneladani perilaku baik mereka dan sekaligus boleh mendapatkan keuntungan dari perbuatan dan ucapan mereka."

Rehatkan Minda, Namun Minda Tetap Berjalan

SAAT yang penuh dengan kegembiraan itu berakhir pada hari ini. Dua buah usrah gabungan yang diketuai oleh Ustaz Firdaus telah memulakan perjalanan ke Baltim semalam. Aktiviti santai dan penuh tenang itu berjalan begitu lancar sekali.

Walaupun berenang di dalam gelombang kecil pantai dan bermain boleh sepak di atas pasir tebal yang amat me'NYEMPUT'kan dada, namun dua usrah ini bukan pembuang masa seperti mat rempit yang berfikiran sempit diluar sana. Muzakarah, perbahasan dan qiamulail itu yang menjadi aktiviti utama selain menjamah ayam bakar hasil seni tangan Ustaz Nazrie.


Sesekali perlu tenangkan fikiran dari kesibukan bekerja..
Hari ini kita melihat anak-anak dididik dengan penuh kesungguhan. Beg galas harian mereka seberat hampir 10 kilo digendung ke sekolah. Petang ke kelas tuisyen dan malam pula sibuk menyiapkan kerja sekolah.Padahal mereka hanyalah pelajar KECIL yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Kini waktu bermain sudah tidak ada. Adakah ini satu aktiviti yang benar difikirkan oleh ibu bapa? Kita tidak perlu menghilangkan fitrah manusia yang punya penat, rasa ingin berkawan dan berseronok semata-mata ingin menggapai impian secara paksa. Ramai orang yang cemerlang ada waktu rehat dan bersenang-senang.

Setiap manusia itu perlu ada waktu liburannya. Waktu bersama keluarga. Waktu bermain dan bersenda bersama kawan-kawan. Usah mengganggu fikiran anda dengan segala paksaan kerja, kelak anda akan menjadi pelajar cemelang yang kini sudah kabur hidupnya.

Walaupun anda mempunyai waktu rehat, jangan siakan waktu itu dengan rehat-rehat kosong!

Banyaknya Kerja!!

“Aduhai.. Banyak pula kerja hari ini..” Luahan harian atau mungkin pada setiap awal bulan. Berpinar mata melihat senarai tugas yang akan dilakukan setiap hari. Berfikir sendirian mengapa semua kerja ini harus aku tanggung. Perlu masak, perlu membaca buku untuk peperiksaan, perlu tukarkan lampin anak-anak dan macam-macam.

Tapi sedarkah bahawa usia kita sudah meningkat? Mari kaji bersama banyaknya kerja yang kita hadapi dari sudut meningkatnya umur kita. Ya.. dulu sewaktu kecil kita tidak merasa beban yang banyak untuk meneruskan kehidupan. Kadang kala pada usia 7 tahun masih lagi ibu yang menyuapkan makanan.

Kini kita sudah berusia, banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Apatah lagi jika sudah berumah tangga. Maka terimalah ia sebagai satu ibadah. Bila dinamakan ibadah, andai anda lakukan, maka ganjaran pahala akan anda miliki.

Andai anda sekarang tidak punya kerja dan memiliki waktu terluang yang banyak, bermakna anda masih belum cukup dewasa. Orang yang terkurung dipenjara juga punya kerja. Jadi usah gelisah dan bermuram durja jika kerja berderetan yang menanti kehebatan anda untuk menyelesaikannya. Ia sebenarnya menguji tahap kecekapan anda menguruskan masa! Bermotivasilah.. Ya, saya kini sedang bersemangat hendak mencari kerja! (dalam erti kata lain, saya sudah DEWASA) ;)

Motivasi Dari Seorang Ibu


Waktu kecil, saya selalu dikejutkan setiap pagi dengan kata motivasi dari ibu saya. Ibu akan mengeluarkan ayat-ayat manis (ayat pujuk rayu) supaya saya dapat bangun awal. Langkah pertama, ibu akan mendudukkan tubuh saya dari katil. Saya akan terduduk dan sambil mata tertutup rapat, ibu mendengarkan kepada saya sajak motivasi yang direkanya sendiri untuk membangunkan anaknya. (Juga ibu menggunakan nama panggilan manja! -RAHSIA) Agak lucu mengenangkan zaman kecil dahulu. Perkara tersebut menjadi kebiasaan dan saya tidak perlukan lagi kata-kata motivasi untuk bangun tidur. Saya mampu berkejar untuk masuk ke bilik air terlebih dahulu sebelum abang-abang saya yang lain. Kalau ibu mengejutkan orang lain terlebih dahulu, saya akan merajuk dan tidak mahu bangun langsung. Hasilnya, saya dapat bangun awal pagi ke sekolah dengan perasaan seronok dan bukan secara terpaksa.

Jika anda punya anak kecil atau seorang adik yang agak liat untuk bangun pagi ke sekolah, maka gunakanlah cara lembut ini.