Rahsia Semangat seorang Muslim (Bahagian 2)

2. Yakin dengan janji Allah.

Seorang yang yakin dengan apa yang Allah janjikan di dalam al Quran berupa syurga dan nikmatnya akan sentiasa menuntut agar dia diberikan dengan apa yang telah dijanjikan itu. Untuk mendapatkan apa yang Allah janjikan itu dia perlu patuh dan ‘membuat’ apa yang disuruh oleh Allah dan ‘meninggalkan’ perkara yang dilarang. Semangat untuk ‘membuat’ dan ‘meninggalkan’ perkara-perkara itu akan berlaku sekiranya mereka yakin dengan janji Allah di akhirat kelak. Contohnya jika kita dijanjikan oleh ibu ayah yang mereka akan memberikan kita hadiah apabila berjaya dalam peperiksaan, kita akan bersemangat untuk mendapatkannya. Segala usaha kita akan berterusan selagi tidak menemui kejayaan seterusnya menerima hadiah itu.

Allah menjanjikan dengan kemenangan. Firman ALLah Ta’ala yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati. (Surah Ali Imran). Allah sentiasa bersama dengan orang yang beriman. Kita melihat apabila seseorang yang ditinggalkan seperti sahabat karib yang selalu menjadi pembantunya, atau seorang yang menjadi inspirasinya dalam hidup meninggal dunia, dia akan merasakan putus pengharapan dari segalanya pada kehidupan berbanding sebelum ini. Sedangkan Allah sekali-kali tidak pernah alpa dari bersama orang mukmin walaupun sesaat. Semangat berkobar terjadi kerana orang mukmin sudah mengetahui yang mereka sedang bersama pentadbir alam, kuasa di atas semua kuasa yang ada di alam ini. Raja pemerintah semua pemerintahan.

Janji Allah dengan kenikmatan. Kenikmatan berupa syurga dan segala apa yang ada di dalamnya menjadikan seorang mukmin itu perindu akhirat. Rindu untuk bersama dengan Rasulullah, para Sahabat r.anhum dan orang-orang soleh. Gambaran minda yang terlukis akan kenikmatan itu walaupun tidak pernah melihatnya menjadikan diri mereka merasa asyik bila mengingati janji Allah Ta’ala itu. Dengan sebab itu mereka akan lakukan perkara yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala dengan cara yang paling baik kerana di sebalik perbuatan tersebut ada habuan yang menanti. Pendek kata alang-alang membuat pekerjaan, biar sampai menjadi.

Semangat untuk mendapatkan syahid perkara paling dinantikan oleh orang mukmin. Mereka melihat janji Allah di syurga lebih mahal dan lebih indah dari apa yang terpapar di atas muka dunia ini. Perjalanan menuju kesyahidan itu membawa mereka untuk sanggup melakukan apa sahaja hingga mereka menuju ke akhir hayat. Kita melihat hal ini tidak mungkin terjadi pada seorang kafir. Dari satu sudut bila mereka keputusan bom dan alat senjata dalam peperangan, mereka akan menyerah kalah atau membunuh diri. Hal yang sama tidak terjadi pada orang mukmin. Mereka yang berada di palestin contohnya tidaklah memiliki kekuatan material berbanding pihak zionis di sana. Semangat untuk syahid melonjakkan diri mereka ke arah kemenangan walaupun kadangkala syahid tidak datang menjemput mereka.

Kerana itu kita melihat semangat yang ada pada seorang muslim, walaupun mereka tidak punya kepentingan diri di dunia ini, tidak punya orang yang membakar semangat mereka tetapi mereka terus bersemangat. Ini terjadi kerana mereka melakukan sesuatu pekerjaan kerana ALLah dan bukan kerana manusia. Sanjungan manusia akan berakhir bila manusia itu sudah tidak ada lagi.

Rahsia Semangat seorang Muslim (Bahagian 1)

Apakah rahsia kejayaan orang-orang beriman pada zaman Rasulullah saw di dalam apa jua peperangan? Kenapa semangat mereka tidak pernah luntur sehingga ke akhir hayat? Yang terbaru ini kita melihat pergerakan HAMAS yang terus mempertahankan tanah Gaza dari dicerobohi sehingga boleh dikatakan sebagai berjaya menundukkan israel dalam mematahkan setiap serangan. Bara semangat mereka tidak pernah padam walaupun anak, isteri dan sanak saudara mati terbunuh. Rumah mereka menjadi serpihan tanah rata dan badan mereka sentiasa dalam keletihan bukanlah menjadi penghalang untuk bersemangat menentang musuh.

Terlebih dahulu saya ingin mengertikan semangat di sini ialah satu perasaan ghairah untuk meraih matlamat yang mana perasaan ini akhirnya menghasilkan pergerakan diri untuk menuju ke arah maklamat tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang berjaya untuk memasuki universiti adalah kerana di dasari satu perasaan yang dapat ‘push’ mereka untuk mencapai matlamat (masuk universiti) tersebut. Itulah yang dinamakan semangat. Atau pun ketika melihat keuntungan hasil jualan seorang sahabat dalam perniagaannya. Lantas diri anda bercita-cita untuk berjaya sepertinya. Maka perasaan yang timbul untuk menjejaki kejayaan sahabat anda itu adalah merupakan semangat.

Semangat dapat dipertahankan kerana mempunyai tujuan khusus, seperti ingin lulus dalam SPM untuk memasuki Universiti yang paling popular di tanah air. Dan juga ingin menjadi kaya setelah melihat kejayaan sahabat sendiri. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mencapai maklamat itu. Seorang pelajar akan mengurangi tidur dan memperbanyakkan latihan. Seorang yang ingin berniaga pula sanggup untuk menahan lapar dan mengurangkan perbelanjaan untuk menyimpan duit sebagai modal berniaga. Semua ini tidak akan mungkin berlaku tanpa ada semangat yang berkobar-kobar.

Semanagt boleh luntur?

Semangat manusia yang berkobar-kobar tadi boleh menjadi luntur disebabkan beberapa perkara. Sebagi contoh, pelajar SPM yang bersemangat untuk mendapatkan kejayanan maksimum boleh berakhir dengan mendengar berita kematian ibu bapa ataupun kemungkinan dia mengalami putus cinta dan sebagainya. Begitu juga seorang yang ingin mula berniaga akan putus semangatnya bila kekurangan modal.

Baik, kita berbalik semula kepada perbicaraan sebelum ini. Bagaimana semangat seorang yang beriman kepada Allah tidak pernah luntur?

Perlu kita selidiki atas dasar apa yang boleh membuatkan seorang itu bersemangat. Sebagai contoh orang ingin membuat kerja amal membantu mengurangkan kesusahan rakyat. Akhirnya semangatnya untuk membantu hilang pada suatu ketika oleh kerana pelakuan mereka itu tidak dihargai oleh orang lain. Orang muslim membantu orang lain bukan didasari oleh dunia tetapi adalah atas dasar pertintah Allah. Jadi andai disukai atau tidak, mereka tetap melakukan perkara-perkara kebaikan itu. Seorang muslim sentiasa bersemangat dalam mengejar redha Allah. Mereka mengejar apa yang disukai oleh Allah. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Mereka berlumba2 mencari redha Allah (fathir:32)

Di sini adalah antara beberapa faktor menyumbang ke arah semangat yang tulus dan tidak akan lagi layu digugah kehidupan duniawi.


  1. Allah sebagai sumber semangat

Orang beriman yakin akan kewujudan Allah sebagai pemelihara mereka. Mereka tahu akan kebesaranNya yang meliputi seluruh alam. Tanpa Allah swt, setiap pergerakan tidak akan terjadi. Apakah kaitannya beriman kepada Allah Ta’ala dengan semangat?

Orang muslim akan sentiasa bersemangat dalam hidup kerana mereka tahu mereka tidak hidup bersendirian. Allah Ta’ala sentiasa ada bersama mereka. Oleh itu mereka akan redha dengan segala kelemahan, kekurangan, dan kekalahan kerana mereka yakin Allah telah membuat pilihan yang terbaik untuk mereka.

Oleh kerana mereka yakin ALlah itu wujud dan pemerintahanNya menyeluruh ke segenap alam ini, mereka terus bersemangat dan bermotivasi. Tidak ada yang dapat menenangkan hati selain duduk di dalam pemeliharaan Allah Ta’ala.

Contohnya apabila kita duduk bersama dengan orang yang berkedudukan dan mempunyai kuasa, kita akan rasa tenteram dan tenang. Bahkan kita akan berani bersuara kerana kita yakin orang yang berkuasa itu akan mempertahankan kita (seperti yang terjadi dalam dunia politik sekarang).

Oleh itu, andai ada ujian menimpa, mereka tetap melakukan perbuatan tersebut kerana yakin Allah akan membantu mereka suatu hari nanti. Setiap perkerjaan mereka akan lakukan yang terbaik kerana mereka yakin, Allah melihat perbuatan itu dan akan diberi pahala. Sebagai contoh: seorang murid akan bersemangat membuat latihan kerja rumah yang diberi guru ketika ibu bapa menemani mereka. Apabila ibu bapa keluar dari biliknya, dia seolah-olah tidak lagi bersemangat kerana seakan-akan sudah tidak di perhatikan lagi dan tidak mendapat motivasi. Sebagai seorang Muslim, mereka percaya Allah sentiasa bersama mereka dalam semua keadaan dan waktu. Hal ini membuatkan mereka bersemangat dalam membuat perkerjaan pada semua keadaan dan waktu. Dengan ini semangat mereka tidak pernah putus!

Di sinilah kita melihat satu dasar atau sumber yang perlu wujud untuk kita lebih bersemangat. Iaitu membuat sesuatu hanya untuk mencari keredhoan Allah. Jika kita membuat satu perkara dengan penuh semangat disebabkan oleh orang atasan, pangkat, harta dan lain-lain, semangat seperti ini tidak akan kekal lama. Ini kerana apabila orang atasan, pangkat, dan harta itu musnah dan binasa, ia turut membawa kehancuran pada semangat yang wujud itu. Sebagai contoh seorang yang ingin menjadi ahli perniagaan yang besar dan membangun serta disebut-sebut orang akan namanya. Dia akan bertungkus lumus untuk mencapai hasrat duniawinya itu dengan pelbagai pengorbanan yang diluar jangkaan. Pagi hari terpaksa keluar awal untuk menguruskan pelanggan dan menerima tempahan. Dia akan menolak apa-apa perkara yang tidak dapat menguntungkannya seperti menolong orang dan membuat kerja amal. Kita melihat ‘semangatnya’ untuk mengejar material duniawi ini tidak akan kekal. Apabila seseorang itu menemui jalan buntu seperti bermasalah dengan pinjaman wang, stor terbakar dan lain-lain, maka di saat itulah semangatnya akan berakhir dan cita-citanya juga turut musnah.

Berbanding seorang muslim yang melakukan kerja dengan penuh semangat, di dasari hanya semata-mata mencari redho Allah Ta’ala, semangatnya itu akan sentiasa menyala-nyala dan tidak pernah padam. Sabda Rasulullah SAW Rasulullah (saw): "Perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ialah perbuatan yang dilakukan dengan istiqamah".Ia berbeza dengan orang yang bersemangat hanya semata-mata kerana dunia. Jadi apabila seorang muslim itu mengalami ujian seperti kerugian dan kemusnahan, dia akan kembali pada Allah. Dia mengetahui itu adalah ujian Allah. Dia tetap akan berusaha melakukan kerjanya dengan cara yang paling terbaik. Kejayaan dan kegagalan adalah di atas kehendak Allah Ta’ala. Hasilnya semangatnya itu tidak akan hilang dan cita-citanya juga turut berhasil kerana dia yakin Allah sentiasa bersamanya pada setiap waktu.


....Kita akan bersambung pada pos yang akan datang.

Jangan patah semangat!

Saya baru pulang dari pengajian kitab di Zaqaziq. Memang sangat letih dan saya kekurangan 'mood' (mungkin ada sesuatu yang berlaku), tambahan pula cuaca yang sejuk diluar pada pagi ini (12.30 malam). Selalunya saya akan membaca emel dan akan melihat gambar untuk merehatkan fikiran. Post ini telah saya hantar setelah menonton satu video yang saya kira mampu membantu kita untuk membentuk semula semangat sekiranya ia mula beroperasi agak perlahan.

Ramai orang yang gagal kali pertama menempuh hidup ini menyerahkan dirinya sebagai penyerahan seorang yang sudah mati (tiada pengharapan). Padahal dia 'tetap' hidup bersama dunianya yang sama setiap hari. Sebagai contoh, orang yang putus cinta membunuh diri kerana merasa dirinya begitu gagal dalam hidup. Orang yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun berasa diri sungguh malang walaupun itu adalah kegagalan pertamanya. Ingatlah Rasulullah saw pernah diuji dengan kewafatan isteri yang tercinta, Saidatuna Siti Khadijah r.a.ha dan juga bapa saudara baginda pada waktu yang hampir sama. Namun membawa risalah ALlah sebagai tugasnya tetap dijalankan walaupun mempunyai masalah peribadi. Di sinilah ALlah menunjukkan kekuatan semangat yang ada pada Nabi Muhammad SAW.


Setelah menonton video ini, harapnya kita perlu muhasabah diri dengan apa yang ALlah telah tetapkan di dalam hidup kita. Adakah takdir yang telah ditentukanNya itu terlalu buruk untuk kita di dalam dunia ini atau ia adalah suatu yang bermanfaat untuk masa hadapan. Yang penting adalah perubahan, bukan bersedih berterusan dengan apa yang menimpa. Kesedihan dan menangis seharian selama setahun pun tidak mampu untuk membahagiakan hati.




Pengejaran dan penghayatan: Putus semangat hanya mengundang kesedihan yang berterusan dalam hidup kita. Berusahalah berkali-kali sehingga berjaya mengembalikan semangat itu dan kita hanya akan tersenyum bila melihat perubahannya. Biarkan pergi sesuatu yang telah telah hilang pada hari KELMARIN, teruskan kehidupan kerana kemungkinan ada sesuatu yang baru akan anda temui pada hari ESOK, kerana ESOK adalah suatu yang BARU!

Mencari ‘Peledak’ Semangat

Semangat manusia boleh muncul boleh hilang. Dalam satu masa manusia boleh menjadi begitu kuat dan nampak gah hebatnya. Pada masa yang lain dia kelihatan tidak bermaya dan seolah-olah menjadi mayat hidup. Sering kali kita melihat, apabila pelajar sekolah balik dari kursus motivasi, mereka begitu bersemangat dan bercita-cita untuk merubah diri. Namun perubahan yang baru dilaluinya hanya tertahan dalam tempoh tiga hari sahaja. Jadi apakah cara untuk kita bangkitkan semangat setelah ia mati? Jawapannya, kita harus mencari ‘peledak’ atau punca yang membolehkan seseorang itu bersemangat kembali.

Begitu juga dengan marah. Kadar kemarahan seseorang akan melambung tinggi jika menyentuh punca yang boleh membuatkan dia menjadi marah. Sebagai contoh, seseorang itu memang ‘pantang’ disebuat nama bapa atau ibunya. Memang dia akan berikan ‘tamparan hebat’ kepada penyebut yang malang itu.. Jadi peledak kemarahannya adalah dengan menyebut nama ayah ibunya. (Jangan bermain-main dengan orang seperti ini.).

Tapi di sini kita ketepikan ‘peledak’ kemarahan itu. Mari kita berbicara bagaimana menaikkan semangat dikala malas pada sesetengah waktu. Pernahkah anda melalui waktu-waktu ketika malas untuk membaca buku pelajaran, kemudiannya terlihat gambar ayah ibu di meja tulis? Apakah perasaan anda pada waktu itu? Saya dapat agak bahawa kita akan teringat harapan ibu ayah yang sangat tinggi terhadap kejayaan kita. Tapi kemungkinan juga, kita akan telefon mereka selepas itu Apatah meraka yang datangnya dari golongan yang susah. Pada waktu itu, kita lantas menyambar buku di atas meja dan akan membaca sehingga larut malam dengan begitu tekun.

Adakah anda sudah memahami maksudnya kalam ini? Itulah peledak yang saya sebutkan sebentar tadi. Lain orang lain peledaknya. Ada yang menjadikan kekasihnya sebagai sumber kekuatan diri dan ada juga yang menjadikan bahan material sebagai pembakar semangatnya.

Saya tidak membataskannya pada manusia sahaja. Banyak lagi perkara yang boleh membuatkan seseorang itu lebih bersemangat. Sebagai contoh, bila malas datang pada waktu hampir peperiksaan,, cuba anda bayangkan jika gagal dalam peperiksaan itu. Pasti ada seribu satu kekalutan hidup akan menghantui seperti dimarah ibu, tidak dapat meneruskan biasiswa dan bermacam-macam lagi.Jadi pastikan anda terus bersemangat setiap hari dengan mencari apa-apa yang boleh mengembalikan motivasi anda.

Namun, bagaimanakah jika anda tiada punca yang boleh menjadikan anda bersemangat? Ayah ibu sudah tiada. Kehidupan hanya sebatang kara. Tiada siapa yang lagi mengharapkannya. Sebenarnya punca semangat itu sangat banyak. Pernahkah anda terfikir, bagaimana seseorang muslim boleh menjadi bertambah semangat pada setiap masa? Walaupun dihujam dengan pelbagai perkara yang boleh melumpuhkan semangatnya, mereka tetap teguh dengan pendirian yang sama. Saya akan kongsikan kepada anda, bagaimana pandangan seorang muslim terhadap semangat. Tunggu pada artikel yang akan datang.

Penyakit kurang FOKUS

Orang yang fokus bererti mempunyai matlamat dan tujuan. Semestinya mereka yang fokus hanya mempunyai satu haluan yang ingin dituju. Kebanyakan kejayaan yang diraih oleh mereka yang fokus ini lebih tinggi dari mereka yang kurang menghayati fokus dalam sesebuah pekerjaan.

Apakah penyakit yang melanda ini?
Attention Deificit Disorder atau ADHD (AttentionDeficit Hyperactivity Disorder), atau dengan bahasa yang mudah, penyakit lesu dan kurang fokus untuk pekerjaan seharian. Orang yang memiliki penyakit ini mempunyai daya tumpuan yang lemah (otak melayang) kekacauan pikiran, sifat kehilangan dorongan dan gerak hati, serta keresahan atau kegelisahan yang menganggu fungsi dan pekerjaan sehari-hari.

Sebenarnya pelbagai punca penyebab kita tidak atau kurang fokus kepada sesuatu pekerjaan yang sedang dilakukan Kebanyakannya ialah mereka yang suka buat pelbagai kerja dalam satu keadaan. Kalau boleh, dia ingin melakukan semua kerja. Pernahkan anda ingin melakukan satu perkara, dan perkara lain pula yang dihasilkan? Seperti asalnya ingin membeli kitab (buku) di sebuah Pameran buku. Tiba-tiba ditengah jalan terlihat DVD playstation dijual dengan harga murah. Lantas membeli dan setelah duit habis digunakan, terus balik. Bila tiba dirumah, terfikir apakah tujuannya keluar rumah tadi. Adakah untuk membeli DVD playstation atau buku ilmiah?

Begitu juga mereka yang ingin membaca buku. Asalnya ingin membaca buku Sains, tiba-tiba terlihat buku Bahasa Arab. Timbul dalam hati, hendak belajar Bahasa Arab (semangat). Namun semasa membaca buku sains tersebut, hati asyik teringat dan terbayang buku Bahasa Arab, terus ditinggalkan buku Sains dan membaca buku Bahasa Arab pula. Inilah contoh mereka yang kurang fokus dalam membuat satu pekerjaan. Dalam hal ini, mereka sebenarnya menempah pelbagai kerja dalam kehidupan.

Hayatilah sabda Rasulullah (saw): "Perbuatan yang paling dicintai oleh Allah ialah perbuatan yang dilakukan dengan istiqamah". Lakukan kerja secara berterusan sehinggalah kita sampai ke matlamatnya. Tetapkan matlamat, objektif, pasti anda akan terhindar dari penyakit tidak fokus ini. Sebagai nota tambahan, sekiranya anda mempunyai idea lain ketika membuat sesuatu perkara, catatkan sahaja. Mungkin boleh difikirkan semula pada waktu yang lain.