Mencari Solehah atau Menjadi Soleh?

Saya sering membaca kisah kehidupan orang yang ingin menghabiskan zaman bujangnya, namun gagal meninggalkan kepompong kebujangannya itu oleh kerana dilanda masalah pilihan jodoh. Mereka mencuba sedaya upaya sehingga habis ratusan ringgit mengupah tok bomoh profesional berataraf antarabangsa namun jodoh tidak kunjung tiba. Pada waktu itu mereka mula mempersoal hakikat taqdir Allah. Saya bukanlah agen pencari jodoh untuk anda pada pos kali ini, cuma ketika berada di tahun akhir pengajian di sini saya selalu dipaparkan dengan masalah kegagalan mencari jodoh yang meragut ketenangan jiwa saya. Memang perasaan cinta agak sukar untuk diterjemahkan. Ada orang suka itu dan ini, pendek kata ada pelbagai rasa dalam satu masakan yang tak mampu diolah dalam bahasa kamus.

Susahnya mencari jodoh!
Jika ditanya, anda mahu mencari jodoh yang bagaimana? Tentunya akan dijawab, “dia yang paling baik dalam akhlak dan budinya”. “Pandai jaga hati”. Baik dari segi itu dan ini. Sebenarnya jika anda cuba bertanya kepada penari-penari kelab dangdut, mereka juga akan menjawab dengan jawapan yang sama. Tiada wanita yang suka dibelasah oleh suaminya setiap hari walaupun suaminya itu bukan bekas ahli tinju yang mahir. Sudah fitrah manusia mencari yang elok dan tidak busuk. Cuma bayangan kefahaman mereka disebalik makna perkataan‘baik’ itu yang berbeza. Bagi mereka, orang yang selalu tersenyum itu adalah antara orang yang terbaik walaupun berasal dari kumpulan peninggal solat yang terkenal. Adapun kebaikan itu sebenarnya hanya terzahir bila kita mentaati perintah Allah.

Bagaimanapun setiap kita mendamba cinta dari seorang kekasih yang sangat sempurna sifat keinsanannya. Sifat sempurna yang mampu menutup lubang-lubang kecacatan walaupun setengah meter. Banyak sekali mereka yang telah lanjut usia gagal untuk mendirikan rumah tangga kerana memikirkan perkara ini. Yang ada di hati mereka: “Betulkah dia ini baik atau sekadar berlakon.” “Ooh mungkin dia cuba bantu aku sebab hendak mengambil hati”. “Emm pakai tudung dan cuba-cuba buat solehah agaknya itu”. Akhirnya, semua sifat orang habis diselidiki tanpa memikirkan sifat diri sendiri. Kita yang tidak punya sifat dan perwatakan yang 'baik' cuba untuk menilik mereka yang 'paling baik' untuk dijadikan pasangan hidup. Seboleh mungkin kita mahukan seseorang yang punya sifat seperti malaikat. Sedangkan kita antara orang yang selalu bermuamalah dengan syaitan setiap hari untuk melakukan maksiat. Ini tidak adil! Bagaimana sifat syaitan dan malaikat boleh bersatu? Akhirnya setiap detik berganti masa yang lama tidak juga mendapat pasangan yang secucuk. Lamunan untuk mendapat itu dan ini tidak terzahir di depan mata oleh kerana sentiasa melihat yang negatif pada orang lain.





Jadilah yang soleh, anda akan mendapat yang solehah!

Cuba selidiki diri sebelum mencari orang yang kita bayangkan sifatnya dibenak kita. Adakah sifat yang berada dibenak sendiri itu, wujud dalam diri kita? Atau dalam erti kata yang lain, jika ingin mendapatkan seorang yang solehah, maka kita juga perlulah menjadi yang soleh. Kalau ingin mendapat jodoh yang soleh, kita perlulah solehah. Dari sini kita dapat fahami bahawa menjadi sesuatu itu lebih mudah dari mencari sesuatu. Kita setia mencari pasangan yang berperwatakan seorang yang soleh dan solehah, sepatutnya kita sendiri perlu punya perwatakan itu. Janganlah anda menyalah orang lain jika pinangan anda ditolak. Siapakah yang ingin mendapat pasangan punya 'kakinya berbotol' dan peninggal setia solat fardhu? Sememangnya dijanjikan Allah setiap yang baik itu kepunyaan yang baik. Dan yang buruk itu akan mendapat yang buruk. Penzina yang setiap saat bergelumang dengan dosa tidak akan mampu untuk mendapat pasangan seorang lelaki yang soleh. Ini adalah realiti. “Jangan cuba masuk ke dalam istana untuk bertemu dengan puteri raja dalam keadaan pakaian anda compang camping”. Oleh itu jadilah yang terbaik untuk diri sendiri selain ingin menjadikan orang lain sebagai yang terbaik untuk diri kita.

Belajarlah menjadi sifat orang yang kita ingini. Kelak kita sebenarnya yang akan dicari. Bukan kita yang mencari.



Video Muhasabah Seorang Anak

Hari ini saya ingin berkongsi satu video yang mampu menewaskan sifat malas seorang pelajar. Atau sebagai pemurni jiwa derhaka seorang anak. Terima Kasih kepada saudara Quhafah kerana telah menemukan semula video ini setelah sekian lama hilang dari komputer saya.



Ini adalah salah satu peledak semangat anda ketika ia mula merudum. Video ini jugalah yang selalu saya tonton ketika semangat mula pudar disebabkan beberapa perkara yang mendatang tanpa dipinta. Jika anda malas untuk muhasabah diri, membetulkan niat, maka bukalah mata, hidangkan telinga anda untuk menonton dan mendengar video ini.

Video ini juga amat memberi kesan kepada jiwa apatah lagi jika anda duduk berjauhan dengan ayah dan ibu diperantauan. Dengan kasih sayang mereka, kita kini mampu mendaki ke puncak dengan mudah. Setiap langkah dipimpin tidak pernah putus. Maka jangan putuskan harapan mereka. Andai pun anda tidak mampu membalas jasa mereka barang sedikit pun, maka tidak usahlah untuk menyusahkan mereka.

Kasih sayang, antara pengorbanan dan yang terkorban






Sifat kasih sayang adalah satu sifat yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluknya tidak kira samada manusia atau haiwan. Dengan kasih sayang itu, seekor kucing dapat menyusukan anaknya yang dalam kelaparan. Maka kehidupan di dunia ini sangat harmoni jika kasih sayang itu diterapkan di dalam jiwa setiap manusia dan sentiasa diamalkan di dalam kehidupan.

Kasih sayang yang membawa diri terkorban.
Sangat menghairankan. Kebiasaannya orang yang mengasihi seseorang yang akan terkorban. Kali ini sedikit terbalik. Orang yang dikasihi pula yang terkorban disebabkan kasih sayang yang diberikan kepadanya. Ini memang benar. Sayang tanpa pemahaman yang betul membuatkan orang yang disayangi itu akan terkorban.

a) Ibu bapa yang begitu sayangkan anaknya dan meluahkan kasih sayang mereka dengan pemahaman yang songsang membawa anak mereka seakan-akan tidak pernah diberi kasih sayang. Sebagai contoh, anak dibiarkan bergaul dengan sesiapa sahaja dengan alasan masih remaja lagi, perlu bergaul dengan masyarakat untuk buka minda, tidak mahu mengongkong anak takut dikatakan anak seperti katak di bawah tempurung dan tidak perlu kejut awal untuk solat subuh takut anaknya tertidur di dalam kelas kerana mengantuk.

b)Kasih sayang songsang sepasang kekasih yang belum diikat dengan tali pernikahan akhirnya membawa kepada penzinaan. siapa yang terkorban sebenarnya?


Kasih Sayang Dengan Pengorbanan Yang Sebenar.
Terlalu jauh kefahaman tentang 'sayang' yang kita anuti dari apa yang diajar oleh Rasulullah saw. Rasulullah saw menganjurkan kita untuk menginfak harta yang paling kita sayang. dan paling baik . Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآَخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya;
” Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”(Surah Al-Baqarah : 267)

Jika sayangkan harta, maka infaqkan kerana ia akan membantu anda mendapat ganjaran yang begitu lumayan diakhirat kelak. Orang dunia menyayangi harta dengan menyimpan sehingga harta itu digunakan ke jalan yang salah dan kadang kala tidak sempat digunakan lantaran kematian datang secara mengejut. Nabi ibrahim juga meninggalkan siti hajar ditengah padang pasir yang gersang kerana sayang kepada isterinya dan menuntut untuk sama-sama taat pada perintah Allah.

Jadi mari perbetulkan makna sebenar kasih sayang kita kepada seseorang. Mungkin pada pandangan kita, kita telah menyempurnakan kasih sayang yang sebenar, tapi terkadang kita silap. Ibu bapa yang benar-benar sayang anaknya akan melepaskan anaknya untuk menyambung pelajaran walaupun terpaksa berjauhan. Jika kita benar-benar menyintai seseorang, maka kita akan mengahwininya atau jika tidak berkemampuan pun cukuplah setia itu menjadi mahar pendahuluan. Bukanlah sentiasa berhubung itu tanda sayangnya kerana sayang tetap di dalam hati.

Hakikat Kejayaan A1 - Anda sudah berjaya?

Tulisan ini hanyalah sebagai penenang dan juga sebagai pembangkit semangat kepada mereka yang gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM yang lepas. Ayuh, kita tetapkan diri untuk sentiasa bermotivasi.
-------------------------------------------------------------------------------------------

Kita pernah gembira setelah mendapat huruf A1 yang banyak dalam sijil keputusan SPM yang lalu. Ayah ibu sibuk dengan kenduri merebah seekor lembu tanda syukur. Bangga tertitip dibibir-bibir mereka bahwa anak harapan mereka ini telah berjaya meningkatkan maruah keluarga pada satu tingkat yang dirasa begitu kukuh.Pada hari ini, adakah perasaan yang sama dirasai oleh ibu ayah anda jika anda membuat masalah di Universiti seperti ditangkap khalwat atau mencuri barang koperasi?

Kebanyakan ibu bapa dan juga kita sendiri hanya menghadkan kejayaan itu hanya terdapat pada huruf A yang tersirat dalam keputusan SPM. Seakan-akan SPM itu dapat menentukan kejayaan yang berpanjangan. Ibu bapa berasa begitu tersinggung jika anak mereka gagal mendapat yang terbaik dalam pelajaran. Seolah-oleh ada arang yang terlekat pada muka mereka yang amat sukar untuk dicuci.



Saudara-saudara,
Adakah kita tahu, kejayaan kita kini juga tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan keputusan pelajaran anak-anak atau adik-adik kita di sekolah. Di manakah kejayaan anda dalam berurus niaga? bagaimana prestasi anda dalam perkerjaan? dan yang paling penting bagaimana peningkatan iman anda terhadap Allah setelah 20-30 tahun usia yang anda telah lalui. Anda sebenarnya tetap gagal kerana tidak dapat menyempurnakan kejayaan untuk diri sendiri.

Nah, sekarang mengapa perlu dipandang rendah kepada adik-adik atau anak-anak kita yang gagal dalam peperiksaan? Hanya kerana keputusan yang kurang cemerlang kita tidak lagi bersemangat untuk mendidik anak kita ke arah yang lebih sempurna. Cuba ukur pula kejayaan kita hari ini. Andai anda juga gagal, maka tidak ada perbezaan antara kegagalan anak anda atau adik anda dalam peperiksaan dengan kegagalan anda dalam melaksanakan tugas seharian seperti gagal mendidik anak-anak dan lain-lain.

Ya memang benar keputusan yang baik menjamin akan kecerahan masa hadapan anak-anak. SPM antara penentu awal dalam mewarnai setiap alur pelangi kejayaan. Namun tidak semua manusia mampu untuk dididik secara formal. Mungkin anak tersebut gagal dalam pelajaran dan berjaya dalam bidang yang lain. Kita sendiri telah melihat kejayaan banyak tokoh tanpa lulusan SPM. Bukan bererti mereka gagal SPM,bahkan kertas soalan SPM juga tidak pernah mereka lihat.

Bagaimana pula dengan kes pelajar pintar suatu ketika dahulu. Tidak perlu saya sebutkan namanya jika anda sudah fahami apa yang akan saya tuliskan ini. Kini akal dan imannya sudah rosak dengan perkara yang begitu memalukan. Kejayaan A1+++ memang miliknya suatu masa dahulu, tapi tidak lagi kini. Bila ini terjadi, ibu bapa akan merasa betapa indah dan mahalnya nikmat yang ALlah kurniakan berupa seorang anak yang masih mampu berbakti walaupun hanya memegang cangkul di ladang.

Usah berputus asa melihat keputusan SPM yang tidak seberapa. Dunia ini masih bernafas jika nyawa anda masih diberi Allah untuk berdegup. Teruskan berjalan di dunia ini dan carilah apa jua lubuk kejayaan yang dapat membahagiakan anda dan orang tersayang. Rezeki berupa kejayaan itu sangat luas seluasnya rahmat ALlah di muka bumi ini. Pilihan berada ditangan anda. Mulakan dengan tawakkal dan gerakkan tubuh badan menuju pilihan anda itu. Umat islam itu adalah orang-orang yang berjaya. Jadi, lakukanlah kerana Allah!

Video Program EMINENT 2009

Di sini saya 'upload'kan sedikit video semasa program EMINENT 2009 berlangsung. Berikut adalah slide pada hari penutup EMINENT 2009.




Sebahagian dari slide show penutup





** Pertama kali Bazli UNIC buat konsert dengan suara serak (speaker bermasalah)