Kembali Bersua


Sudah lama saya biarkan blog ini tinggal bersawang. Mujur 'blog' tidak mengeluarkan bau mual, kalau tidak, mesti aroma hapak akan menusuk-nusuk hidung mana-mana manusia yang singgah bertandang.

Biasalah, keadaan seorang penuntut ilmu yang sedang mengalami masa untuk 'diuji ilmunya' oleh Tok Guru. Sebolehnya menghabiskan masa pertapaan yang lama untuk memuaskan hati para pensyarah bila menilai kertas jawapan nanti. Apa pun, doa dari kalian juga terhimpun dalam menambah nilai keputusan nanti, InsyaAllah

Apa pun, blog ini akan saya update untuk hari-hari seterusnya. Seorang muslim sebolehnya melakarkan makruf pada setiap tempat dan waktu yang ada. Tidak kira pada tuturnya, pada tingkah lakunya, bahkan pada mindanya yang terzahir melalui gerakan lembut tangan yang menghasilkan tulisan. Harapnya anda juga begitu!

Macam-macam Ada di Mesir

Petang kelmarin, saya melangkahkan kaki yang longlai ini ke pasar raya berdekatan untuk memenuhi tuntutan ahli rumah supaya membeli barang keperluan dapur. Dalam suhu panas pada tahap yang belum membimbangkan lagi itu, sudah mampu merubah posisi raut wajah saya menahan hemburan suhu bahang.

Seperti yang terdapat pada pasar raya lainnya, di sini adalah lambakan produk luar negara yang dicedok oleh Pemborong Mesir. Yang mengembirakan hati bila melihat peratusan produk dari malaysia kian meningkat dari hari ke hari yang kini sudah memakan tahun.

Mata saya merenung tajam pada satu sudut bahan minuman yang popular di Malaysia, power root. Ali Cafe (yang diterjemah dalam bahasa arab dengan Qahwah 'Ali), Pearl, Ali Cafe Cappucino juga kelihatan di situ. Putaran pada persoalan kini, adakah mungkin Rakyat mesir akan meninggalkan minuman Teh Panas kegemaran mereka yang enak diminum di waktu musim panas dan dingin? Yang paling menakjubkan bila melihat situasi seorang mak cik yang bersungguh-sungguh menggeledah Maggie yang berperisa Tom Yam pedas (bukan jenama 'Maggie'). Diketahui umum bahawa keturunan arab ini tidak suka yang pedas. Walaupun barangan dari Malaysia tidak sebanyak yang terdapat di Makkah, namun terubat juga keinginan menjamu makanan dengan sos dan kicap yang berperisa ala-ala cap kipas udang.

Menyelusuri perjalanan balik ke rumah, anak-anak kecil pula sibuk melontarkan putaran gasing masing-masing. Oh, mungkin suara bayu dari Malaysia kian memanggil saya untuk pulang. Guli dan permaian ten-ten yang dimainkan oleh kanak-kanak perempuan juga bisa menjadikan lorong ke rumah saya ini seperti keadaannya di perkampungan Malaysia. Kemungkinan pada hemat saya, permainan batu seremban dan polis entry juga bakal dikormisalkan di Mesir ini. Mungkin ustaz Yazid boleh menjadi jurulatihnya.

Apa pun pemandangan seperti ini boleh mengembalikan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam medan peperiksaan yang akan berlangsung sekitar dua hari lagi untuk kertas soalan yang kedua. Semangat untuk berjaya dan semangat untuk pulang ke tanah air!

Untuk mereka yang tinggal di benua asing, pujuklah diri anda untuk terus bersabar berada di rantauan. Semua itu adalah sesuatu yang manis yang akan mempertingkatkan lagi tahap kebudayaan dan kematangan diri.

Harapan Orang Tersayang

Sudah lama rasanya tidak memberikan coretan berbisa di dalam blog ini sejak sebulan lalu. Maklumlah musim peperiksaan yang melanda umpama kemarau yang tersebar luas di negara belah afrika sana. Semuanya mundar mandir ke sana sini membawa sekeping buku buat sajian setiap hari. Selera untuk melihat komputer hidup sepanjang waktu terpadam dari jadual harian..


Semalam saya diberikan Cenderahati Istimewa oleh sahabat kecil saya yang bernama Muhammad Rif’at. Pada awal perlakuan mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya memberikan saya gambaran seribu tanda tanya. Istimewa agaknya. Lalu Muhammad Rif’at membuka sehelai kertas A4 yang dilipat lapan itu. Hampir renyuk, mungkin sudah di tapai seminggu yang lalu. Katanya “Awak lihatlah lukisan ini pada setiap malam. InsyaAllah awak akan berjaya.” Lukisan hasil lakaran tangan seorang pelajar sekolah rendah itu cukup untuk membuatkan saya terharu dan sebak di kala itu. Tidak saya sangka sahabat kecil itu juga menaruh harapan atas kejayaan saya selepas harapan yang tinggi dari ibu bapa di Malaysia.

Harapan orang disekeliling yang tidak kita ketahui..
Sebenarnya kita tidak keseorangan dalam apa jua perjuangan, pengorbanan. Ada mata-mata yang memerhati dari jauh dengan kerdipan sinar harapan agar kejayaan itu menjadi milik kita pada suatu hari nanti. Dia juga akan tersenyum pada waktu itu.

Tidak sanggup rasanya untuk memusnahkan harapan yang menggunung yang ditimpakan ke atas bahu kita tanpa menyahutnya dengan kejayaan cemerlang. Harapan ibu ayah, harapan sahabat, harapan guru di sekolah dahulu yang tidak pernah kita ambil peduli. Maka kini hayati dan selamilah ke dalam lubuk hati mereka dalam menghasilkan kejayaan itu! Jadikan ia sebagai sebuah inspirasi dalam melonjakkan diri anda ke arah kecemerlangan.


Mencontohi Kisah Orang Berjaya

Kisah manusia yang cemerlang mempunyai daya kekuatan yang tersendiri. Sebagai langkah menuju kejayaan juga, kita perlu melihat dan menganalisa kisah orang yang sudah berjaya. Mana mungkin kita dapat mencontohi peribadi orang yang belum berjaya yang belum mempunyai kisahnya tersendiri. Kisah orang yang belum pernah berjaya adalah kisah insan yang belum lagi menjadi satu 'Cerita Kejayaan'.

Allah swt memerintahkan kepada hambaNya untuk meneliti dan mengimbas setiap kisah-kisah orang terdahulu yang terdapat di dalam al quran. Di sana terdapat contoh yang akhirnya membuatkan kita menyedari diri dan terus melakukan perubahan.

Firman Allah Ta'ala:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَذَا الْقُرْءَانَ
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu.” (Yusuf: 3)

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي اْلأَلْبَابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.” (Yusuf: 111)

Kisah yang boleh diambil iktibar mampu membangunkan jiwa dari segala kelemahan. Amat beruntung jika kita mempunyai kisah sendiri dan orang lain boleh mendapat manfaat darinya. Ganjaran pahala disediakan bagi orang yang memberikan contoh teladan yang baik untuk orang lain. Di sini saya hidangkan kisah peribadi insan cemerlang yang hidup sezaman dengan kita. Moga semangat menjelang hari peperiksaan ini akan anda rasai.

Ustaz Zaharuddin.
Beliau boleh dijadikan contoh pelajar cemerlang dalam Pendidikan Islam. Anda boleh menilai sendiri tahap keilmuan Ustaz Zaharuddin dulu dan sekarang yang sudah beliau miliki dengan jalan yang seakan-akan mudah. Namun ia tidak semudah melafazkan perkataan M.U.D.A.H itu. Jika anda mengkaji latarbelakang beliau, pencapaian beliau kini sebenarnya adalah begitu menakjubkan. Ya, menakjubkan kerana beliau dapat mempelajari sesuatu perkara dengan cepat.
Anda boleh baca secara lebih terpeinci di sini:
http://www.zaharuddin.net/content/view/618/72/

Irfan Khairi
Beliau merupakan insan yang berjaya dalam perniagaan. Beliau juga bukanlah seorang yang dilahirkan begitu hebat, namun beliau mampu menjadikan diri sendiri seperti orang-orang yang hebat. Beliau kongsikan bagaimana beliau boleh mencapai kejayaan dalam apa yang dilakukan:

http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/bagaiamana-nak-tahu-passion/
http://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/hobi/
http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/minat-wang/

Apa yang saya dapat rumuskan pada kejayaan mereka ialah, mereka mempunyai minat dalam apa yang diceburi dan mempunyai maklumat terperinci dalam sesuatu bidang.
a) Minat: Bila dikatakan minat, bermakna anda mampu melakukan sesuatu pekerjaan dalam keadaan seronok walaupun susah. Seperti hobi anda juga!
b) Maklumat: Perasaan semangat untuk berjaya juga akan sampai jika kita mempunyai maklumat tentang apa yang kita lakukan. Pendek kata, tak kenal maka tak cinta. Sudah tahu manfaat apa yang akan anda lakukan, maka anda akan terus lakukan hingga berjaya.

Kita Miskin Cinta dan Kasih Sayang..

Masyarakat kini miskin cinta. Cinta mereka hanya terbatas pada orang, kaum dan benda tertentu. Bila disebut pemuda, maka dia semestinya seorang yang akan mencintai gadis. Bila disebut orang kaya, dia perlu mencintai harta. Maka setiap haluan hidup di tujukan pada yang tercinta. Bila kasih sayang 100% untuk kekasihnya, hartanya, dan jawatannya, orang lain tidak lagi penting dalam hidup.

Cintailah semua orang, kerana cinta itu tidak terhad..
Bila saja berhadapan dengan orang yang dicintai, orang lain dilihatnya seperti batu dan tunggul. Bila diminta pertolongan, sedikit pun tidak diendahkan. Namun untuk terjun ke lautan api bagi membuktikan cinta pada kekasihnya sanggup diredahi . Lalu bagaimana sikap tolong menolong, kasih mengasihi terhadap sadara-saudara yang lain dapat diamalkan jika segala perbuatan baik hanya untuk orang tertentu dan hanya di dasari oleh material semata-mata. Kerana itu manusia kini miskin cinta. Cinta itu terhad untuk harta, jawatan, wanita, dan kaum kerabat.

Kisah peperangan di Negara jiran tidak dihiraukan kerana; cinta hanya terhadap Negara sendiri dan semangat perkauman yang menebal. Perompak berjaya melarikan beg tangan seorang mak cik dan kita melihat dari jauh kerana; itu bukan makcik kita atau wajah mak cik itu tidak seiras Siti Nurhaliza.

Ingatlah ketika jenazah kita disuatu hari nanti hendak dikebumikan. Siapa yang membantu. Saudara kita yang tidak pernah kita kasihi di dunia dahulu yang menurunkan kita ke liang lahad. Dahulu kita sibuk menghabiskan masa dengan mengira nilai wang emas, sibuk dengan kekasih dari awal pagi hingga malam. Lalu, dimanakah benda yang kita cintai itu pada waktu ini. Pangkat yang kita cintai kini dijawat orang lain. Harta yang diusahakan siang dan malam kini menjadi warisan untuk anak-anak.

Ingatlah Allah tidak pernah membataskan sifat arRahmanya pada manusia tertentu. Nabi saw juga tidak datang hanya untuk sebuah kaum atau bangsa sahaja. Maka bersahabatlah dan sebarkanlah silatarrahim kepada semua manusia. Jangan kerana cinta harta, pangkat, dan kekasih, kita tidak berpeluang untuk mencintai yang lainnya.