Motivasi Hadapi Saat-saat Peperiksaan

Peperiksaan bertandang lagi pada sudut akhir pembelajaran. Tanpa peperiksaan, terasa amat kabur kualiti ilmu kita selama ini. Tanpa peperiksaan juga, mungkin kesahihan dalam pengkajian ilmu kita selama ini tidak dapat diperbetul. Jadi usah pandang peperiksaan itu sebagai musuh yang dapat menghancurkan masa lapang anda.
Untuk para pelajar yang akan diperiksa ilmunya, di waktu ini anda akan sibuk membaca buku sambil sekali sekala menjeling entry post saya ini. Tidak mengapa. Dalam kadar masa 5 minit ini saya mahu kongsikan bersama anda satu teknik membakar semangat di musim peperiksaan. (Dan sememangnya semangat terhadap pelajaran mula membakar di waktu peperiksaan, tidak diwaktu lainnya - maaf jika gurisan itu timbul dihatimu..)

Ciptakan satu ayat PANAS yang memang anda tidak boleh duduk senang setelah membacanya WALAUPUN hanya sekali! Ingat ya.. ayat PANAS, bukan ayat GANAS.. Bina satu ayat yang dapat menakutkan anda sekiranya anda tidak lulus peperiksaan. Sebagai contoh "Jika aku tidak lulus pada tahun terakhir ini, kekasih ku nekad untuk berkahwin dengan orang lain" Barangkali ini tidak sesuai. Cuba pula yang ini.. "Jangan kerana aku lalai sesaat, aku terpaksa menunggu setahun lagi untuk menduduki peperiksaan ini". Ini sesuai untuk mereka yang mengikuti peperiksaan mengikut fasal, atau tahun. Di Universiti alAzhar ini contohnya, andai anda gagal 3 mata pelajaran sahaja pun, anda layak menerima satu tahun tambahan semata-mata untuk meluluskan 3 mata pelajaran yang gagal. Jadi ayat ini amat sesuai. Ciptakan apa saja yang membuatkan anda tidak senang duduk setelah membacanya. Lekatkan di dinding, di daun pintu almari, di tulis di telefon bimbit dan di mana saja yang di rasa mudah terlihat.

InsyaAllah, di musim peperiksaan, tingkatkan motivasi anda pada setiap saat. Sama ada memberikan motivasi atau pun menerima nasihat dari orang lain terutamanya mutiara kalam ulama-ulama. Ingatlah dahulunya mereka juga seorang pelajar!

Aku Ingin Berubah!

"Aku Ingin berubah! Ya, Aku Ingin berubah!" Kata-kata ini hanya memperakui perubahan diri dalam tempoh sehari sahaja. Walaupun lelah dada mengulangnya 100 kali dengan satu nafas, ia tidak mampu memberikan kesan yang jitu dalam diri. Memang kelihatan ada perubahan. Namun hanya sementara. Perubahan ini bukan semudah menjadi ultraman ataupun gaban dalam sekelip mata, tapi ini adalah satu perubaahan diri dari negatif kepada positif.



Perubahan sebenarnya lahir bukan hanya dari kata-kata sahaja. Perubahan itu timbul dari gelodak hati kita. Kerana itu hati disebut sebagai qalbun di dalam Bahasa Arab, yang membawa maksud antaranya; berbolak balik atau tidak tetap atau berubah.
Firman Allah Ta'ala:
وَنُقَلِّبُ أَفۡـِٔدَتَہُمۡ وَأَبۡصَـٰرَهُمۡ كَمَا لَمۡ يُؤۡمِنُواْ بِهِۦۤ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬ وَنَذَرُهُمۡ فِى طُغۡيَـٰنِهِمۡ يَعۡمَهُونَ
Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al Quran) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatannya yang sangat. (Surah Al An'aam; ayat 110)

Sebagai contoh, anda berjanji untuk tidak meninggalkan solat fardhu pada awal waktu dengan berjemaah. Dalam tempoh masa 2 -3 hari ini anda kelihatan aktif bergiat keluar masuk masjid. Namun setelah beberapa hari berlalu, perubahan itu semakin luput dari jasad. Ke mana ia menghilang?

Sebenarnya suasana juga memainkan peranan dalam perubahan diri menuju ke arah kebaikan. Suasana yang membuatkan hati mula berubah yang kemudiannya memberi kesan kepada pengurangan iman anda. Anda ingin belajar mengikut masa. Namun anda masih duduk di dalam sebuah rumah yang dilingkungan oleh penggemar bola sepak yang sentiasa terduduk keras di hadapan televisyen. Ahli rumah anda seramai 6 orang. Hanya anda seorang sahaja yang kini terkial menongkah dan melawan arus sifat negatif dengan sampan azam yang masih baru itu. Bolehkan ia bertahan untuk berlawan dengan ombak yang sekuat 6 orang itu? Gagah itu tidak ada pada anda di saat ini.

Oleh itu, jika anda masih lemah, masih baru untuk melakukan perubahan, maka bersahabatlah dengan orang-orang yang sudah beruabah. Bergaullah dengan mereka yang selalu ke masjid, walaupun anda tidak berniat langsung untuk menjadi AJK Masjid. Bergaul dengan mereka yang rajin belajar. InsyaAllah ada kesan dan peningkatannya.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, saya petik sedikit kata-kata mutiara Al-Imam Abdullah bin Alwi Alhaddad sebagai penawar hati yang leka. "Usahakanlah diri anda untuk selalu bersahabat dengan orang-orang yang berakhlak mulia agar dapat meneladani perilaku baik mereka dan sekaligus boleh mendapatkan keuntungan dari perbuatan dan ucapan mereka."

Rehatkan Minda, Namun Minda Tetap Berjalan

SAAT yang penuh dengan kegembiraan itu berakhir pada hari ini. Dua buah usrah gabungan yang diketuai oleh Ustaz Firdaus telah memulakan perjalanan ke Baltim semalam. Aktiviti santai dan penuh tenang itu berjalan begitu lancar sekali.

Walaupun berenang di dalam gelombang kecil pantai dan bermain boleh sepak di atas pasir tebal yang amat me'NYEMPUT'kan dada, namun dua usrah ini bukan pembuang masa seperti mat rempit yang berfikiran sempit diluar sana. Muzakarah, perbahasan dan qiamulail itu yang menjadi aktiviti utama selain menjamah ayam bakar hasil seni tangan Ustaz Nazrie.


Sesekali perlu tenangkan fikiran dari kesibukan bekerja..
Hari ini kita melihat anak-anak dididik dengan penuh kesungguhan. Beg galas harian mereka seberat hampir 10 kilo digendung ke sekolah. Petang ke kelas tuisyen dan malam pula sibuk menyiapkan kerja sekolah.Padahal mereka hanyalah pelajar KECIL yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Kini waktu bermain sudah tidak ada. Adakah ini satu aktiviti yang benar difikirkan oleh ibu bapa? Kita tidak perlu menghilangkan fitrah manusia yang punya penat, rasa ingin berkawan dan berseronok semata-mata ingin menggapai impian secara paksa. Ramai orang yang cemerlang ada waktu rehat dan bersenang-senang.

Setiap manusia itu perlu ada waktu liburannya. Waktu bersama keluarga. Waktu bermain dan bersenda bersama kawan-kawan. Usah mengganggu fikiran anda dengan segala paksaan kerja, kelak anda akan menjadi pelajar cemelang yang kini sudah kabur hidupnya.

Walaupun anda mempunyai waktu rehat, jangan siakan waktu itu dengan rehat-rehat kosong!

Banyaknya Kerja!!

“Aduhai.. Banyak pula kerja hari ini..” Luahan harian atau mungkin pada setiap awal bulan. Berpinar mata melihat senarai tugas yang akan dilakukan setiap hari. Berfikir sendirian mengapa semua kerja ini harus aku tanggung. Perlu masak, perlu membaca buku untuk peperiksaan, perlu tukarkan lampin anak-anak dan macam-macam.

Tapi sedarkah bahawa usia kita sudah meningkat? Mari kaji bersama banyaknya kerja yang kita hadapi dari sudut meningkatnya umur kita. Ya.. dulu sewaktu kecil kita tidak merasa beban yang banyak untuk meneruskan kehidupan. Kadang kala pada usia 7 tahun masih lagi ibu yang menyuapkan makanan.

Kini kita sudah berusia, banyak kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Apatah lagi jika sudah berumah tangga. Maka terimalah ia sebagai satu ibadah. Bila dinamakan ibadah, andai anda lakukan, maka ganjaran pahala akan anda miliki.

Andai anda sekarang tidak punya kerja dan memiliki waktu terluang yang banyak, bermakna anda masih belum cukup dewasa. Orang yang terkurung dipenjara juga punya kerja. Jadi usah gelisah dan bermuram durja jika kerja berderetan yang menanti kehebatan anda untuk menyelesaikannya. Ia sebenarnya menguji tahap kecekapan anda menguruskan masa! Bermotivasilah.. Ya, saya kini sedang bersemangat hendak mencari kerja! (dalam erti kata lain, saya sudah DEWASA) ;)

Motivasi Dari Seorang Ibu


Waktu kecil, saya selalu dikejutkan setiap pagi dengan kata motivasi dari ibu saya. Ibu akan mengeluarkan ayat-ayat manis (ayat pujuk rayu) supaya saya dapat bangun awal. Langkah pertama, ibu akan mendudukkan tubuh saya dari katil. Saya akan terduduk dan sambil mata tertutup rapat, ibu mendengarkan kepada saya sajak motivasi yang direkanya sendiri untuk membangunkan anaknya. (Juga ibu menggunakan nama panggilan manja! -RAHSIA) Agak lucu mengenangkan zaman kecil dahulu. Perkara tersebut menjadi kebiasaan dan saya tidak perlukan lagi kata-kata motivasi untuk bangun tidur. Saya mampu berkejar untuk masuk ke bilik air terlebih dahulu sebelum abang-abang saya yang lain. Kalau ibu mengejutkan orang lain terlebih dahulu, saya akan merajuk dan tidak mahu bangun langsung. Hasilnya, saya dapat bangun awal pagi ke sekolah dengan perasaan seronok dan bukan secara terpaksa.

Jika anda punya anak kecil atau seorang adik yang agak liat untuk bangun pagi ke sekolah, maka gunakanlah cara lembut ini.

Sabar Dalam Kesusahan Menghasilkan Kesenangan!

Kursus dalam masa 3 bulan di negari kelantan suatu masa dahulu adalah merupakan antara penjara terjauh saya dengan keluarga. Teringat saat ujian getir keputusan wang di waktu itu. Wang yang luput dan tidak mungkin hilang tanpa saya membelanjakannya dengan begitu rakus. Tragedi ini berlaku pada akhir bulan setelah saya dengan rela hati memberi pinjam wang yang berbaki untuk seorang sahabat. Hingga seminggu selepas itu, baru saya sedari yang saya tidak punya wang lebih untuk berbelanja.

Keputusan diambil untuk terus bersabar dari meminta pinjam wang dari kawan-kawan. Secara automatik kulit muka menjadi 18cm tebalnya bila ingin meminjam sedangkan saya yang memberi pinjaman wang kepada orang lain. Habis sudah segala poket baju saya geledah. Nilaian syiling yang paling rendah juga tidak saya miliki. Mana mungkin dapat saya menghubungi keluarga. Saya duduk bertafakur bersendirian. Tanpa makanan seharian tidak mengapa. Semua zikir telah saya lafazkan satu persatu. “Ini ujian Allah”. Pujuk hati kecil.

Terdengar langkah berderap. Oh rupanya sahabat yang meminjam duit saya tempoh hari. (Risau juga hati ini jika dia ingin meminjam untuk kali kedua). Tanpa bertutur panjang, dia menghulurkan wang yang dipinjam seminggu lepas. Alangkah bersyukurnya saya pada waktu itu. Tapi ada satu lagi perkara ajaib yang terjadi.. Apa saja yang saya terniat untuk makan, memang benar-benar muncul di depan mata. Ya Allah, besar benar rahmatMu. Untuk sabar yang seketika itu sahaja Kau gantikan dengan yang lebih baik dari sebelumnya.

Dari Ibnu Mas’ud daripada Nabi Muhammad saw bahawa baginda bersabda: “Allah menciptakan setiap jiwa dan menetapkan hidupnya, rezekinya dan musibah-musibahnya.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmidzi

Firman Allah Ta’ala

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:


الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
156. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."


أُولَـئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
157. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Pengajaran & Penghayatan: Oleh itu, usah merungut diwaktu hemburan kepayahan mula membahang dalam detik-detik hidup anda. Sekuat mana raungan anda tetap tidak mampu untuk merubah takdir Allah. Bersabar itu adalah jalannya..


Saya Benci Kritikan!

Kita merasakan diri begitu cemerlang bila asyik menerima pujian dari pelbagai pihak. Sempurna betul dirasa. Tapi nun sana ada yang sedang memerhati sambil tersenyum sinis. “Dia itu syok sendiri”.


Anda belum sempurna selagi..
Kritikan yang meruntuh mampu membangunkan kita. Tanpa kritikan, tabir keburukan dan kelemahan diri tidak akan tersingkap. Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Jadi, kenapa perlu takut pada kritikan. Ketahuilah jika anda selalu menerima pujian, itu bermakna orang disekitar anda adalah dikalangan kaki ampu, bodek dan sebagainya. Anda masak mee goreng rasa jeruk betik pun mereka tetap mengiktiraf akan kesedapannya. Ada orang sekali dikritik terus mengundur diri tanpa membawa perubahan pada diri.

Begitu juga halnya dengan kepimpinan, jika tiada yang mengkritik itu bermakna ada yang tidak kena. Kemungkinannya hanyalah; sama ada orang bawahan takut diancam atau pun semua orang bawahannya di kalangan orang bisu dan buta. Dalam hal yang sama jika dikritik, jangan pula memandang yang negatif saja. Di sebalik kritikan itu adanya perubahan yang diminta. Jangan pula tutup telinga dan berundur..

Umar alKhattab ketika mula dilantik menjadi khalifah, beliau berkata pada hadirin:
“Jikalau kamu melihat pada diriku ada penyelewengan maka perbetulkanlah aku”. Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: “Kalau kami dapati pada diri engkau ada penyelewengan, maka akan kami perbetulkan engkau dengan pedang kami”. Lalu Umar berkata: “Segala puji bagi Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar ada yang sanggup memperbetulkannya dengan pedangnya.”

Tahniah kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kerana berjaya memenuhi kerusi kosong Perdana Menteri Malaysia ke enam. Juga takziah kerana bakal mendepani pelbagai masalah yang begitu besar sebagai seorang pemerintah. Semoga kekal tabah.


Muhasabah Cinta

Hampir sebulan video 'Muhasabah Cinta' berada di youtube. Jumlah kini sudah hampir mencapai 1000 tontonan.




Bermuhasabah Cinta Kita Pada Allah..
Ketika senang dan sihat manusia halakan cintanya pada harta dunia, pangkat dan kemewahan bertimbun. Sukar dipadam segala keenakan duniawi yang terpapar di hadapan mata. Begitu rakus manusia itu menjamah seiap inci nikmat dunia seperti seekor singa yang kelaparan.

Ketika suatu hari Allah mengambil seketika segala yang dimiliki manusia itu, diberikan sakit pada kadar yang ringan, manusia segera berpaling dari wajah dunia. Seolah-olah sikap tamak yang lepas tidak pernah lahir dari dalam hati. Manusia merintih, merayu agar dikembalikan semula nikmat sihat itu. Tanpa sihat kereta mewah itu kini menjadi hiasan indah di halaman rumah. Tanpa sihat wang berjuta ringgit tersusun elok di dalam almari antik. Semua nikmat terputus. Kerana manusia tahu, tiada yang dapat menyembuhkannya selain Allah. Dia juga tahu, andai titakdirkan mati, dia akan bertemu Allah. Kini cintanya hanya kepada Allah...

Di waktu sakit inilah rahmat Allah bertandang. Dengan kasih sayang Allah, melihat keadaan hambaNya yang merintih. Andai perasaan takut dan harap berkumpul maka segala dosa akan terampun.

Perlukah FOKUS Dalam Menuju Akhirat?

Ketika pulang dari pengajian pada jam 11 malam tadi, kelihatan pakcik-pakcik arab yang berselerakan di kedai kopi sedang tenang menghirup teh berwap sambil bermain dam. Sesekali riuhan sorak gelak ketawa. Terfikir di dalam hati, bagaimana khilafnya perbuatan saya dengan perbuatan mereka itu. Dalam usia yang hampir bertemu dengan batu-batu kubur itu mereka tetap riang membuang masa seperti anak-anak kecil.

Firman Allah Ta’ala:
فَذَرْهُمْ يَخُوضُوا وَيَلْعَبُوا حَتَّى يُلَاقُوا يَوْمَهُمُ الَّذِي يُوعَدُونَ
Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan). (Surah Az-Zukhruf: 83)


Perbuatan Yang Utama Sekarang ialah..
Ramai yang gagal melakukan pekerjaan mengikut keutamaan. Penyebabnya hanyalah satu iaitu kekurangan fokus terhadap matlamat. Matlamat kehidupan seorang muslim adalah menuju akhirat dengan amal yang sempurna. Semua orang yakin bahawa dirinya tidak kekal lama bernafas di dunia ini. Namun perbuatan leka seolah-olah membawa erti kehidupan ini akan sentiasa berputar untuk beribu-ribu tahun lagi.

Orang muslim yang jelas matlamatnya akan menyusun serta menguruskan kehidupanya dengan baik sesuai dengan matlamat hidupnya iaitu untuk kekal tenang di akhirat dengan mendapat redha dan syurga dari Allah Ta’ala. Oleh itu setiap langkah dan geraknya adalah terarah kepada syurga. Semakin jelas matlamatnya untuk mendapatkan redha dan syurga dari Allah, maka semakin sibuk dia menyediakan diri dan bekalan untuk menujunya.

Ramai yang berjalan songsang kerana kabur dalam perjalanan menuju matlamat. Fokus antara faktor penyumbang kejayaan seseorang untuk menggapai matlamatnya. Dengan mempunyai fokus anda akan mengutamakan pekejaan yang lebih penting pada satu-satu waktu. Orang yang tidak punya fokus melakukan banyak kerja dalam satu masa yang sempit namun terkadang tiada satu pun yang memberi manfaat pada dirinya. Pekerjaan yang patut dilakukan ditinggalkan dan pekerjaan yang perlu ditinggalkan dijadikan keutamaan.

Firman Allah SWT;

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
1. Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ
2. Sehingga kamu masuk kubur.
(Surah at-Takaathur 1-2)

Dunia ini Hanya Stesyen Persinggahan..

Kita boleh umpamakan keadaan ini seperti seorang yang berada di lapangan terbang untuk kembali ke kampung halamannya sempena cuti panjang. Di lapangan terbang tersebut dia begitu sibuk dengan hal yang tidak bersangkutan dengan dirinya seperti menyapu lantai, mengelap cermin, mengutip sampah yang berada disekitarnya. Tanpa dia menyedari bahawa barang persiapannya seperti beg galas dan makanan untuk dibawa ke kampung tidak diuruskan dengan sempurna lagi.

Apabila pesawat ingin berlepas, barulah dia kelam kabut untuk menyiapkan barang-barangnya untuk dibawa bersama. Dalam keadaan yang serba huru hara itu, semestinya ada barang yang tercicir atau jatuh tertinggal. Apa yang dibawa hanyalah beberapa barang yang tidak cukup untuk menetap di kampung dalam masa yang lama. Perasaan sedikit kecewa kerana cuai untuk membuat persiapan dari awal. Masa yang ada hanyalah digunakan pada perkara yang tidak memberi manfaat dalam perjalanannya menuju ke kampung. Dia tidak sepatutnya menghabiskan masa dengan mencuci lantai lapangan terbang itu sementara barang dan begnya ditinggalkan tanpa sebarang persediaan.

Begitu jugalah ibarat mereka yang tidak jelas tentang ke mana arah tuju sebenar perjalanan hidup. Memang tidak dinafikan ada waktunya kita ralip melihat keindahan dunia ini di kala iman merudum. Seperti juga berada dilapangan terbang itu. Padahal kita berada disitu hanyalah untuk beberapa ketika sebelum mula bertolak ke destinasi sebenar. Pabila maut datang menjemput, kita seolah-olah baru tersedar dari buaian lena. Dalam waktu berbaki yang sangat sempit itu, kita menyedari bahawa barang yang patut dibawa bersama untuk menuju ke negeri akhirat belum lagi terkumpul sempurna. Barang-barang itu adalah berupa amal yang akan membantu kita untuk hidup di sana. Rupanya usaha siang dan malam untuk memiliki kereta mewah dengan mengetepikan amal ibadah adalah sia-sia. Kereta yang berjuta ringgit itu tidak mampu mengikut jejak tuannya untuk bersama menuju ke negeri akhirat. Apa yang terlihat ialah, kita tidak punya bekal melainkan bekalan amal yang sedikit malah ada kecacatan dan rompongan yang tidak mampu untuk menampung kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah Ta’ala:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَاباً وَخَيْرٌ أَمَلاً
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (Surah alKahfi: 46)

Tiada yang dibenarkan untuk mendarat semula setelah menaiki pesawat. Begitu juga seseorang yang sedang menuju ke alam abadi. Amal yang tertinggal tidak dapat dikutip atau meminta untuk dihantar melalui pos.

Firman Allah Ta’ala:
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ
12. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Jadi kejayaan kita di akhirat sana adalah bergantung sebanyak mana fokus tentang pemahaman kita mengenai akhirat. Kita akan sentiasa fokus dalam membuat sesuatu amal yang terarah kepada matlamat di akhirat. Setiap hari kita perlu mengingatkan diri bahawa kita pasti akan menuju ke satu destinasi yang jauh yang memerlukan amal sebagai bekal di sana. Akhirnya kita akan tahu pekerjaan apakah sekarang ini, saat ini, dan waktu ini yang perlu kita lakukan untuk menjamin hidup kita terarah ke syurga. Secara automatik setiap pergerakan yang membawa selain dari matlamat itu akan kita akan tinggalkan.

Moga saya, anda dan pakcik-pakcik arab di kedai itu diberikan kefahaman yang lebih oleh Allah Ta'ala untuk bersedia menemuiNya dalam keadaan yang sempurna.